MENG Yean (kanan) dan Mei Kuan sasar penyertaan ke Olimpik 2020.
MENG Yean (kanan) dan Mei Kuan sasar penyertaan ke Olimpik 2020.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas melihat rakan senegara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio 2016, Lee Meng Yean juga mempunyai keinginan sama untuk beraksi di temasya berkenaan pada 2020 di Jepun.

Menurutnya, dia dan pasangan, Mei Kuan berharap mampu mencapai sasaran menjelang 2020 dengan syarat masing-masing memperbaiki corak permainan setanding Vivian-Khe Wei.

“Sebenarnya satu tekanan juga menjadi pasangan kedua negara (selepas Soong Fie Cho mengalami kecederaan lutut), kerana kami perlu mengejar keupayaan gandingan utama (Vivian-Khe Wei). Kami perlu berlatih lebih keras dan semuanya perlu dilakukan dengan latihan tambahan,” katanya kepada Arena Metro.

Jelasnya, itu saja cara perlu dilakukan jika mahu memperbaiki kemampuan diri, selain beraksi cemerlang di setiap kejohanan.

“Selepas ini saya harap kami mampu mara ke suku akhir atau melakukan kejutan dalam setiap kejohanan disertai terutama bagi baki tahun ini. Saya juga merasakan, kami perlu meraih lebih banyak pengalaman.

“Kami juga harus lebih berkomunikasi antara satu sama lain kerana baru saja digandingkan semula. Jadi banyak perkara yang perlu dibincangkan dan belajar bersama-sama. Itu yang perlu dilakukan untuk tahun ini,” katanya.

Meng Yean juga berharap tidak dibelenggu masalah kecederaan kerana boleh menjejaskan segala cita-cita serta sasaran ditetapkan.

“Kami tidak memikirkan sangat mengenai ranking kerana tidak banyak kejohanan disertai. Jadi sasaran hanya memikirkan sejauh mana kami mampu mara jika beraksi di mana-mana kejohanan.

“Saya juga sebenarnya tidak berpuas hati dengan prestasi setakat ini kerana ada masa kami bermain baik dan sebaliknya. Sekarang kami sudah tahu apa masalah dan tidak mahu mengulanginya,” katanya.

Meng Yean-Mei Kuan dijangka mengambil bahagian dalam Terbuka Thailand awal Oktober dan sekarang ini menghuni ranking ke-67 dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 11:02 AM