REKA bentuk kediaman Aquavilla.
REKA bentuk kediaman Aquavilla.

Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) (www.pkns-property.com), memperkenalkan projek perumahan terbaru, Divina yang berkonsepkan kediaman ala resort di tengah bandar raya Shah Alam, Selangor.

Projek membabitkan 34 unit rumah berkembar gaya villa yang terletak di Seksyen 24 itu menawarkan keluasan tanah daripada 3,315 kaki persegi sehingga 9,289 kaki persegi.

Pengurus Pemasaran PKNS, Mohd Wazir Abdul Gani berkata, reka bentuk luaran dan ciri-ciri yang menyerupai kediaman berasaskan resort itu turut dikelilingi suasana kehijauan kerana terletak berdekatan taman rekreasi serta tasik.

Beliau berkata, kediaman dua tingkat Divina yang ditawarkan pada harga bermula daripada RM1.3 juta itu juga menawarkan ciri permukaan tingkap yang luas dan ketinggian siling yang membenarkan kemasukan cahaya serta udara semula jadi ke dalam rumah.

“Sebagai pemaju hartanah yang mempunyai pengalaman 50 tahun, projek kediaman ini menyediakan pilihan enam bilik tidur dan lima bilik mandi selain ruang balkoni yang terletak di setiap bilik tidur mampu memberikan suasana pemandangan yang menghijau.

“Saiz bilik tidur yang luas dan selesa memberi peluang kepada pemilik untuk menghiasi ruang mengikut cita rasa masing-masing,” katanya.

Sementara itu, satu lagi projek kediaman eksklusif Aquavilla turut ditawarkan PKNS di Seksyen 7 yang membabitkan pembinaan 26 unit rumah townhouse.

Mohd Wazir berkata, sebanyak empat pilihan reka bentuk dengan keluasan daripada 1,953 kaki persegi hingga 2,408 kaki persegi sudah siap dibina dan dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya pondok pengawal, kawasan berpagar, kamera litar tertutup (CCTV), pendingin hawa dalam semua bilik serta kolam renang.

Unit kediaman Aquavilla ditawarkan pada harga antara RM701,696 hingga RM864,976 seunit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:06 AM