Antara penagih dadah yang ditahan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Antara penagih dadah yang ditahan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Bukit Kayu Hitam: Tujuh penagih dadah termasuk dua wanita ditahan dalam serbuan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah, awal pagi tadi.

Mereka ditahan pada 4.30 pagi di rumah yang terletak dalam kawasan kebun getah di Kampung Padang Satu, di sini.

Difahamkan, rumah itu menjadi ‘port’ penagihan dan jual beli dadah sejak hampir tiga tahun lalu.

Ketua Operasi AADK Kedah, Megat Rodzep Megat Teh berkata, serbuan dilakukan berdasarkan intipan dan maklumat awam yang diterima berhubung kegiatan penagihan dadah di situ.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan berusia 20-an hingga 30-an dan hasil ujian saringan awal mendapati kesemuanya positif dadah jenis methapethamine.

"Mereka ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 3:12 PM