FADZLI
FADZLI
Nor Akmar Samudin

Dek masalah kesihatan dan mahu fokus dengan bisnes awal tahun lalu, Ahmad Fadzli Bakar berundur daripada kumpulan nasyid Fareast yang dianggotainya selama 15 tahun.

Bagaimanapun, dia tidak dapat melupakan bidang yang sudah sebati dengan dirinya itu. Justeru, apabila restoran yang diusahakan di Melaka stabil, Fadzli kini bergerak secara solo menerusi lagu Lahad.

Lagu yang berkisar kematian dan alam barzakh itu ciptaan Fadzli sendiri manakala lirik pula ditulis Ito Lara.

Menurut Fadzli, apabila membaca lirik lagu itu, dia terus jatuh cinta dengan setiap bait ayat malah tidak sampai satu jam menyiapkan melodinya.

“Abang Ito serahkan lirik itu pada Ramadan lalu dan berkat bulan mulia saya dapat siapkan muziknya kurang daripada satu jam. Biasanya saya ambil masa seminggu untuk menggubah lagu.

“Lagu yang mengupas soal mati, Mungkar dan Nakir ini menusuk ke kalbu. Sesiapa yang pernah menguruskan jenazah terutama ahli keluarga sendiri dan mengusungnya sehinga ke liang lahad pasti dapat memahami apa yang cuba saya sampaikan menerusi lagu ini,” katanya.

Lahad dilancarkan dan dimuat naik di Facebook seminggu lalu dan Fadzli terkejut dengan penerimaan positif orang ramai.

Sementara itu Ito yang terkenal dengan liriknya yang puitis dalam lagu Tangis Sebatang Tamar berkata, kumpulan nasyid yang popular suatu ketika dulu seperti El-Suraya pernah menyanyikan lagu mengenai mati berjudul Selimut Putih.

“Sekarang pun ada ada lagu menyebut soal kematian tetapi kebanyakannya lebih kepada yang tersurat dan tersirat. Tiada yang terus terang mengenai mati dan liriknya tidak mendalam.

“Selepas tahu Fadzli mahu tampil solo, saya berikan lagu ini kepadanya. Alhamdulillah dia suka dan terus mencipta melodinya.

“Sejak dulu saya hanya fokus kepada penghasilan lirik, biarlah mereka yang handal dalam penciptaan lagu fikir soal melodi. Saya banyak hasilkan lirik untuk album Fareast dan melodinya digubah Fadzli,” katanya.

Berikutan keserasian itu, dua pencinta seni ini berhasrat menerbitkan album kompilasi karya mereka yang sebelum ini dimuatkan dalam album Fareast.

“Kami akan memilih karya terbaik dan turut menyelitkan Lahad dalam album itu nanti. Lahad adalah prekuel kepada lagu Menanti Barzakh nyanyian Fareast,” kata Fadzli.

Ditanya adakah kemunculan semula ini bermakna dia akan kembali menganggotai Fareast, pemilik restoran Walid’s Kitchen itu berkata dia tidak mahu mengganggu perancangan Nabil Ahmad, Shairiman Badzri dan Azwan Ibrahim.

“Kami tidak berselisih faham. Saya yang sukarela menarik diri daripada Fareast kerana mahu fokus kepada bisnes.

“Kini sudah ada tukang masak yang boleh menyediakan menu yang saya cipta dan pekerja yang semakin cekap menguruskan restoran, jadi dapatlah saya menyanyi semula.

“Saya tidak boleh bersama Fareast kerana tidak adil penganjur bahagikan bayaran kepada empat orang sedangkan saya selalu tiada,” katanya.

Ujar Fadzli lagi, Nabil, Shairiman dan Azwan turut menyokong pelancaran lagu solonya itu dan hubungan mereka kekal akrab.

“Jika Fareast ada persembahan di selatan tanah air, mereka akan singgah di restoran saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 12:39 PM