FAREAST alu-alukan andai dia mahu bersama semula selepas perniagaan stabil.
FAREAST alu-alukan andai dia mahu bersama semula selepas perniagaan stabil.
Nor Akmar Samudin


Kumpulan nasyid Fareast yang dianggotai Ahmad Fadzli Bakar, Nabil Ahmad, Shairiman Badzri (Man) dan Azwan Ibrahim terpaksa akur apabila Fadzli nekad mengundur diri Disember lalu kerana mahu mengusahakan restoran Walid Kitchen di Melaka Sentral.

Walaupun Nabil, Man dan Azwan sudah tahu Fadzli memang suka berniaga, mereka berat hati memadangkan sudah 16 tahun bersama.

Ujar Man, ketika Fadzli menyuarakan hasrat mahu berundur daripada kumpulan itu, mereka menyangka ia gurauan.

“Pada mulanya kami ingatkan dia main-main dan selalu menghalang niatnya. Bagaimanapun, dia semakin kerap bercerita mahu keluar daripada Fareast tahun lalu selepas terkena angin ahmar. Dia kata dirinya sudah tua dan akhirnya pada Disember lalu dia tidak bersama kami lagi.

“Tanpa pengetahuan kami, dia sudah membeli restoran di Melaka. Maka terpaksalah kami menerima keputusannya dengan berat hati. Fadzli memang pandai memasak dan dia pernah buka kedai roti di Bangi. Dulu kalau kami ada persembahan di luar daerah, dia akan buatkan bekal dan pernah masak untuk peminat. Beritahu saja nak makan apa, dia akan buatkan,” kata Man.

Ujarnya lagi, Fareast memahami situasi Fadzli kerana jika dia terus bersama mereka sukar untuknya menumpukan perhatian terhadap restoran yang diusahakan.

“Fadzli memasak sendiri semua makanan di restorannya kerana dia lebih puas menjamu pelanggan dengan air tangannya sendiri.

“Bagaimanapun, persahabatan kami tidak pernah putus, ada masa kami akan pergi menjamu selera di Walid Kitchen. Lagipun, jarak Kuala Lumpur dengan Melaka tidak jauh sangat.

“Kalau ada undangan di selatan tanah air, kami akan singgah di restorannya,” katanya.

Bagaimanapun, ketiadaan Fadzli dalam Fareast membuatkan anggota kumpulan lain berasa kehilangan terutama ketika beraksi di atas pentas.

“Jika perniagaannya sudah stabil dan dia mahu bersama Fareast semula, kami pasti alu-alukan. Lagipun, kami tidak bercadang mencari penggantinya.

“Pernah juga ada persembahan di Melaka yang kami tak dapat pergi, Fadzli akan menggantikan kami menyanyi secara solo,” katanya.

Perkembangan lain, kumpulan nasyid itu kini rancak mencari material untuk single terbaru.

Sebelum itu mereka turut merakamkan lagu raya berjudul Tahmid Lebaran bersama kumpulan Inteam, Rabbani, Hijjaz dan Lah Ahmad.

“Apabila Inteam mengajak kami merakamkan lagu ini, ia penghargaan yang cukup besar. Seronok rasanya apabila dapat berkongsi lagu dengan senior,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2016 @ 5:02 AM