DANIEL STURRIDGE
DANIEL STURRIDGE
Agensi

LONDON: Penyerang Liverpool, Daniel Sturridge menyifatkan tempoh penuh sengsara ketika dipinjamkan ke West Brom, musim lalu membantunya untuk melakar kebangkitan bersama Reds.

Penyerang England itu meledak gol ketika Liverpool meraih kemenangan besar 4-1 ke atas Manchester United pada aksi persahabatan pramusim, kelmarin sekali gus menyaksikannya sudah mengumpul empat gol sepanjang kempen pramusim.

Ia memberi peringatan jelas terhadap kemampuannya dan bukti buat pengurus, Juergen Klopp untuk mengekalkannya dalam pasukan sekalipun kontraknya di Anfield hanya berbaki 12 bulan.

“Tiada apa yang saya kesali,” kata Sturridge. “Pengalaman mengajar saya membesar sebagai seorang manusia. Itulah yang utama. Berkembang sebagai lelaki, pemain bola sepak.

“Bukan dari luaran saja anda boleh berubah, anda juga boleh berubah dari dalam, kadangkala anda tidak dapat lihat apa yang anda perlukan untuk pergi ke tahap yang lain, apa yang anda perlukan untuk berubah.”

Begitupun, pilihan utama Klopp di jentera serangan musim depan tampak cukup berbisa menerusi trio Mohamed Salah, Sadio Mane - yang turut menjaringkan gol menentang United - dan Roberto Firmino sekali gus mencetus persoalan apakah yang diperlukan Sturridge untuk memikat hati pengurus dari Jerman itu.

Dari sudut luaran, pemain berusia 28 tahun itu menghabiskan cuti musim sejuk untuk memperbaiki keadaan fizikalnya dan ia tercapai apabila dia mampu menjalani latihan dalam setiap sesi, sesuatu yang gagal dilakukannya sebelum ini.

“Saya sentiasa ‘lapar’,” kata Sturridge. “Ia tidak pernah berubah. Saya mengharungi setiap hari dengan minda yang positif. Saya berasa hebat bukan hanya mengenai saya, ini mengenai pasukan. Apa yang kami lakukan sebagai satu pasukan.

“Semua orang bekerja dengan amat keras kerana kami perlu menempuh musim yang besar di depan kami. Kami rasa kami boleh melakukan sesuatu yang istimewa, jadi kami bekerja keras.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 12:18 PM