BERNAMA

Johor Bahru: Polis sedang memburu seorang wanita dan suaminya kerana dipercayai mendera adik lelakinya di rumah mereka di sebuah ladang di Kong Kong, Masai, dekat sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Jokhiri Abdul Aziz berkata usaha sedang dilakukan bagi mengesan kedua-dua mereka yang berumur 30-an dan tidak pulang ke rumah selepas kes penderaan remaja berumur 14 tahun itu terbongkar.

"Kejadian disedari kira-kira 9.30 malam, Rabu lalu, selepas seorang wanita, penduduk setempat terlihat mangsa dalam keadaan tidak bermaya di sebuah surau di kawasan Kampung Desa Mewah, Sungai Penderam, Seri Alam, di sini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jokhiri berkata mangsa melarikan diri dari rumah kerana tidak tahan didera pasangan itu dan ada kesan melecur disebabkan air panas, parut-parut luka dan lebam di badannya.

Beliau berkata mangsa turut mengadu sudah lama didera kakaknya, seorang suri rumah dan abang ipar yang bekerja sebagai nelayan selain dibiarkan tanpa sebarang rawatan.

Katanya, mangsa yang tidak bersekolah adalah anak ke-10 daripada 11 beradik dan diserahkan kepada kakak dan abang iparnya untuk dijaga selepas kematian bapa sejak berusia lima tahun.

"Mangsa dibawa kepada polis bagi membuat laporan dan kemudian dibawa ke Hospital Sultan Ismail di sini, untuk rawatan.

"Mangsa kini di bawah kawalan Pegawai Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat dan keadaannya stabil,” katanya.

Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya tampil membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 8:34 PM