Jokhiri (tengah) menunjukkan heroin yang dirampas daripada lelaki disyaki pengedar dadah ketika sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah Seri Alam, Pasir Gudang. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Jokhiri (tengah) menunjukkan heroin yang dirampas daripada lelaki disyaki pengedar dadah ketika sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah Seri Alam, Pasir Gudang. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Seorang lelaki ditahan polis di rumahnya di Taman Desa Cemerlang dekat Ulu Tiram, petang semalam, selepas disyaki mengedar heroin yang dianggar bernilai lebih RM13,000.

Suspek berusia 49 tahun itu ditahan selepas polis yang menyerbu rumahnya kira-kira jam 4.30 petang, menemui 12 paket dadah disyaki heroin dengan anggaran berat 374 gram.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata, ketika serbuan dibuat, suspek berada di rumahnya itu seorang diri sebelum polis memeriksa satu beg pinggang yang dipakainya.

"Hasil pemeriksaan, terdapat 12 paket lutsinar mengandungi heroin dalam beg berkenaan.

"Polis merampas beg dan dadah seberat 374 gram dan dianggar bernilai RM13,090," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini, hari ini.

Beliau berkata, dadah terbabit dipercayai boleh menampung kira-kira 150 orang penagih dan siasatan awal mendapati ia digunakan untuk edaran setempat iaitu di kawasan Desa Cemerlang di sini.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif morfin.

"Hasil semakan ke atas suspek juga mendapati dia mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah," katanya.

Jokhiri berkata, suspek kini ditahan reman sehingga 26 November ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 6:42 PM