KHAIRY (dua kiri) bersalaman dengan perwakilan yang hadir. FOTO Aswadi Alias
KHAIRY (dua kiri) bersalaman dengan perwakilan yang hadir. FOTO Aswadi Alias
Helmy Abd Rahman dan Rosli Ilham


Dungun: Pergerakan Pemuda UMNO berharap pimpinan tertinggi parti dapat menghantar wakil sesuai untuk bertemu dan berbincang dengan Datuk Seri Ahmad Said bagi menyelesaikan kemelut politik di Terengganu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, langkah itu diharapkan dapat mengelakkan daripada diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dilihatnya sebagai pilihan terakhir menyelesaikan krisis berkenaan.

"Pemuda (UMNO) berharap ada usaha untuk berjumpa beliau (Ahmad Said) daripada wakil sesuai kerana kita tak mahu keadaan di mana beliau terus mempertikaikan kerajaan negeri.

"PRN adalah pilihan terakhir, tetapi sekiranya ia terpaksa juga diadakan, Pemuda UMNO sudah bersedia sepenuhnya," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Dungun di sini, hari ini.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, Pergerakan Pemuda UMNO akan terus menyokong Ahmad Razif yang dipilih Presiden parti Datuk Seri Najib Razak untuk menjadi Menteri Besar.

"Kita tak boleh sentiasa menukar menteri besar kerana ia tak akan menyelesaikan krisis yang berlaku. Beliau dipilih oleh Presiden parti dan mendapat perkenan Tuanku Sultan Terengganu (Sultan Mizan Zainal Abidin)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 1:10 PM