TERTUDUH di luar Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO Yahya Zainuddin
TERTUDUH di luar Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO Yahya Zainuddin
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Bekas eksekutif perundangan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Perak didakwa dengan 15 pertuduhan menipu di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, GMN Go Koo Laram, 65, didakwa menipu 15 individu pada Mei 2012 hingga April 2014 dengan meminta bayaran sebanyak RM300 sebagai bayaran guaman sedangkan tiada bayaran dikenakan untuk khidmat YBGK.

Dia didakwa dengan 14 pertuduhan utama mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan 14 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 417 kanun sama, selain satu tuduhan utama mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Go Koo Laram bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap semua pertuduhan yang dibacakan dihadapan Hakim S Indra Nehru.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin yang meminta mahkamah mengenakan jamina RM3,000 terhadap setiap pertuduhan.

Tertuduh yang diwakili peguam Kathan Maruthamuthu, meminta mahkamah memberi wang jamina yang minima sebanyak RM1,000 atas alas tertuduh sudah tiada pekerjaan dan mempunyai beberapa penyakit kronik termasuk kencing tidak lawas dan masalah mental.

Indra Nehru kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM1,800 bagi setiap pertuduhan (RM27,000) dengan seorang penjamin dan 28 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 1:32 PM