EBBY kini lebih menghargai kehidupan.
EBBY kini lebih menghargai kehidupan.
Ridzuan Abdul Rahman


Graf kehidupan pelawak dan pelakon Ebby Yus terus berubah sejak dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selama seminggu pada 8 Februari lalu selepas mengalami masalah paru-paru dan jantung.

Ebby, 51, kini terpaksa mengambil air dalam jumlah sedikit dan hanya meminum satu liter air sehari bagi mengelak paru-parunya gagal berfungsi.

Malah pelakon bernama sebenar Muhammad Yunus Abdul Rashid ini mengakui turut memperlahankan aktiviti seninya atas nasihat doktor.

“Boleh dikatakan saya seorang yang ada penyakit serius dan setiap enam bulan perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan rawatan.

“Sejak ada masalah paru-paru, saya memang ubah cara hidup dan kawal banyak perkara antaranya kena kurangkan minum air.

“Kalau badan saya terlebih air, risikonya sangat tinggi. Lainlah kalau saya dapat buat senaman kerana dengan cara berpeluh dapatlah minum lebih air,” katanya.

Menganggap dirinya agak terseksa dengan situasi ini, Ebby kini amat prihatin menjaga makan dengan hanya mengambil dalam kuantiti sedikit.

“Saya tak berpantang makan ayam, daging dan sebagainya kerana doktor pun tak melarang. Saya pun ada juga amalkan pengambilan ubat tradisional. Sekarang pun dah hampir setahun saya hadkan karier seni dengan hanya ambil tawaran berlakon dalam studio.

“Saya tak boleh buat babak lasak seperti berlari, melompat dan tidur lewat. Memang saya akur kerana ia untuk kebaikan saya juga,” katanya.

Sementara itu, ditanya sekiranya dia mahu mencari seorang isteri bagi menjaga dirinya, Ebby berkata, soal jodoh sememangnya sukar untuk dijawab kerana ketentuan takdir.

“Jodoh bukanlah satu benda yang boleh dinanti atau dicari. Dengan umur saya sekarang dan penyakit yang ada, kahwin sudah jatuh di tangga kedua. Saya kini selesa jaga seorang kakak yang juga orang kurang upaya (OKU) serta tiga cucu saudara. Banyak benda lain yang perlu difikir selain soal kahwin.

“Alhamdulillah restoran saya, Adam Lai dapat sambutan dan ini turut jadi sumber rezeki adik-beradik kerana saya turut memperuntukkan bahagian untuk mereka,” katanya.

Ebby yang sudah mempunyai tiga cawangan restoran iaitu di Shah Alam, Wangsa Melawati dan Seri Gombak kini merancang menambah cawangan di Bangi selepas ini.

“Lokasi kedai sudah ada tapi saya sedang lihat situasi pasaran. Kemungkinan keuntungan salah satu daripada restoran akan diserahkan sepenuhnya kepada adik-beradik saya. Sekarang bahagian yang diberikan kepada mereka agak sedikit jumlahnya,” katanya yang juga anak ketujuh daripada 12 beradik.

Anggap diri bukan pelawak

Dalam perkembangan lain, Ebby kini dilantik sebagai tenaga pengajar program terbaru terbitan Astro iaitu Lawak Solo bersama Nabil Ahmad dan Douglas Lim.

Ini mencetuskan persoalan kerana ada segelintir pihak melihat Ebby bukanlah pelawak seperti dua lagi tenaga pengajar yang dipilih.

Bersetuju dengan persoalan yang dibangkitkan, Ebby mengakui tidak pernah menganggap dirinya pelawak.

“Saya adalah seorang pelakon yang membawakan watak lawak. Sebenarnya saya tak ambil kisah apa yang diperkatakan kerana selera setiap orang tak sama.

“Saya dah lama tanamkan jangan anggap semua orang sukakan kita. Yang penting kita ikhlas menghiburkan orang. Apapun saya sudah tiga kali berada dalam senarai Top 5 kategori pelawak popular Anugerah Bintang Popular BH dan ini membuktikan saya diterima serta ada peminat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 11:09 AM