EBBY Yus. FOTO arkib NSTP
EBBY Yus. FOTO arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Keadaan kesihatan pelakon dan pelawak, Ebby Yus semakin baik dan sudah dibenarkan keluar dari hospital sejak Isnin lalu.

Ebby berkata, hasil pemeriksaan doktor mendapati dia mengalami masalah paru-paru berair tetapi tidak serius.

"Alhamdulillah, petang Isnin lalu saya dah dibenarkan keluar dari hospital. Pada awalnya, saya dimaklumkan mengenai masalah paru-paru berair. Apabila dijalankan ujian X-Ray untuk kali kedua, doktor maklumkan ia tidak serius. Jadi, saya tak perlu nak jalani prosedur untuk 'menebuk' bagi keluarkan air itu," katanya kepada Harian Metro.

Ebby juga memaklumkan dia kini sudah mula kembali bekerja.

"Rabu lalu, saya dah kembali bekerja. Saya sebagai tenaga pengajar untuk program Mencari Sepahtu Yang Hilang dan sudah mulakan kelas dengan mereka yang terbabit.

"Selain itu, saya juga berulang alik ke Hulu Langat untuk uruskan beberapa urusan berkaitan rumah," katanya.

Isnin lalu, Harian Metro melaporkan mengenai Ebby yang ditahan di hospital selama empat hari.

Terdahulu, Ebby menjadi antara artis yang terkesan teruk akibat banjir selepas rumahnya yang masih dalam proses pembinaan, lenyap dibawa arus di Hulu Langat, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 1:21 PM