ANGGOTA bomba dan penduduk membawa turun Harun Yaakob, 64, dari Bukit Pongsu kira-kira 200 meter dari Kampung Keda Telok Teduri, Pulai. FOTO Safuri Kamarudin
ANGGOTA bomba dan penduduk membawa turun Harun Yaakob, 64, dari Bukit Pongsu kira-kira 200 meter dari Kampung Keda Telok Teduri, Pulai. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


Baling: Lelaki warga emas yang hilang sejak lapan hari lalu, Harun Yaakob, 64, ditemui dalam keadaan lemah di Bukit Pongsu, Kampung KEDA Teluk Teduri, Pulai, di sini, hari ini.

Mangsa ditemui pada jam 10.41 pagi dalam keadaan berseluar pendek tanpa baju dan berkaki ayam dalam kebun durian kira-kira 200 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB) di kampung itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Sufian Alias berkata, gerakan mencari membabitkan lebih 50 penduduk, anggota bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis diteruskan awal pagi ini sejauh empat kilometer.

Menurutnya, mereka berpecah kepada dua kumpulan selepas menerima petunjuk sebelum berjaya menemui kelaki itu dalam keadaan selamat.

"Lelaki itu hanya memakan durian bagi mengalas perut daripada lapar selain meminum air hujan di kebun itu.

"Ketika ditemui dia dalam keletihan dan tidak bermaya dipercayai hilang punca untuk mencari jalan keluarpulang ke rumah," katanya.

Katanya, lelaki terbabit kemudian dibawa turun ke PKB sebelum dihantar ke Hospital Baling dengan ambulan untuk rawatan lanjut.

Sebelum ini, keluarga lelaki itu membuat laporan polis selepas Harun tidak pulang ke rumah pada 27 Julai lalu dan operasi mencari dan menyelamat dilakukan mulai Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 1:18 PM