KIM Swee tenang menjawab soalan media di Yangon malam tadi.
KIM Swee tenang menjawab soalan media di Yangon malam tadi.
Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Peluang terhidang untuk skuad Harimau Malaysia melangkah jauh dalam saingan Piala AFF 2016 pada November ini apabila berjaya mengelak daripada bersaing dalam ‘kumpulan maut’.

Dalam majlis undian yang berlangsung di Yangon, malam tadi, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee diundi dalam Kumpulan B bersama tuan rumah Myanmar, Vietnam dan pasukan juara pusingan kelayakan.

Juara bertahan Thailand pula diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Filipina, Singapura dan Indonesia.

Bagaimanapun Kim Swee tidak menganggap mereka mendapat laluan mudah sebaliknya sedar akan ancaman dua pencabar utama, Myanmar dan Vietnam.

“Saya percaya ada pihak yang menganggap kita mendapat undian mudah tapi bagi saya, sebaliknya. Kita selalu berdepan tentangan sengit apabila bertemu Vietnam dan Myanmar. Malah kita juga perlu menghormati satu lagi pasukan dari pusingan kelayakan.

“Bagi saya, Myanmar akan menjadi pasukan pilihan kumpulan kerana liga domestik mereka akan berakhir dalam tempoh tiga minggu lagi, jadi mereka mempunyai masa lebih dua bulan untuk membuat persiapan rapi.

“Vietnam pula konsisten di rantau Asia Tenggara, jadi mereka juga pasti menjadi pencabar utama kita,” katanya ketika dihubungi di Yangon semalam.

Saingan peringkat kumpulan akan bermula pada 19-26 November dan selepas itu dua pasukan teratas kumpulan akan mara ke separuh akhir secara timbal balik pada 3 dan 4 Disember bagi menentukan finalis pada 14 dan 17 Disember.

Bagi pusingan kelayakan yang akan berlangsung di Phnom Penh dari 15-21 Oktober ini, Brunei diundi berada pada posisi pertama, Timor Leste kedua, Kemboja ketiga dan Laos keempat untuk memburu satu slot Kumpulan B di pusingan akhir nanti.

Malaysia muncul juara Piala AFF 2010 dan naib juara dua tahun lalu selain dua kali gagal melepasi saingan peringkat kumpulan pada 1998 dan 2008.

Kim Swee yang dikejutkan dengan persaraan kapten Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal dari Johor Darul Ta’zim (Johor DT) bulan lalu percaya pasukannya mampu melepasi halangan peringkat kumpulan jika dapat mengumpul pemain terbaik.

“Kita perlu melakukan persiapan rapi bagi menghadapi kejohanan ini dengan menggunakan aksi persahabatan sebaik-baiknya untuk mempersiapkan pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 8:52 AM