KHAIRY (tengah) bersaing bersama peserta ke garisan penamat ketika menyertai Larian Fit Malaysia  pada Program Fit Malaysia Fasa 2 Johor di Stadium Batu Pahat, kelmarin.
KHAIRY (tengah) bersaing bersama peserta ke garisan penamat ketika menyertai Larian Fit Malaysia pada Program Fit Malaysia Fasa 2 Johor di Stadium Batu Pahat, kelmarin.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi jaminan tiada unsur campur tangan daripada kerajaan khususnya Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berhubung kemelut yang melanda badan induk itu dengan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ia susulan tindakan Khairy yang mengarahkan Bendahari FAM, Datuk Seri Norza Zakaria dan Ketua Jabatan Kewangan FAM, Datuk V Ampega bertemu dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu bagi memberikan taklimat kewangan.

Walaupun pemergian Nor
za ke Istana Bukit Pelangi di Johor Bahru, Rabu lalu tanpa pengetahuan Exco Tertinggi FAM dan Setiausaha Agungnya, namun ianya sudah diketahui lebih awal oleh Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selepas Khairy menemui Presiden FAM sehari sebelumnya di ibu kota.

Bagi Timbalan Presiden FAM, Datuk Mokhtar Ahmad, tidak timbul soal campur tangan kerajaan dalam persatuan kerana Khairy hanya bertindak sebagai ‘orang tengah’ atau ‘jambatan’ untuk sama-sama menjernihkan kembali konflik yang timbul.

“Kami (FAM) menyambut baik usaha menteri yang saya percaya amat sayangkan sukan bola sepak ini. Beliau (Khairy) hanya bertindak atas kapasitinya sebagai menteri untuk menjadi pemudah cara antara kami dan mereka (Johor DT).

“Pendekatan beliau cukup terbuka. Kami memberikan penghormatan kepadanya kerana sudi membantu dalam perkara ini,” katanya yang percaya kemelut berkenaan dapat diselesaikan dengan cara lebih muafakat.

Semalam, Arena Metro melaporkan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John mengingatkan agar FAM tidak hilang kawalan dalam menangani isu itu terutamanya jika membabitkan kerjasama dengan pihak kerajaan.

Ia kerana badan induk tempatan itu boleh digantung Persekutan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), jika ada Exco FAM menganggap adanya campur tangan pihak kerajaan.

Malah, Khairy sebelum itu turut mengesahkan sudah menemui formula terbaik bagi menangani kemelut itu dan akan mengadap Tunku Ismail dalam masa terdekat sebelum dibentangkan kepada Exco FAM minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 7:59 AM