London: Sebuah mahkamah di sini hanya mengetahui seorang wanita bercakap dalam bahasa asing sejam selepas dia memberi keterangan.

Wanita itu yang menjadi saksi dalam satu kes rogol, berulang kali diarah bercakap lebih jauh dari mikrofon.

Ditambah dengan masalah sistem pembesar suara di mahkamah, mereka yang hadir menyangka dia bercakap dalam bahasa Inggeris, tetapi sukar didengar.

Sejam selepas berusaha mendengar dengan teliti percakapan wanita itu yang bercakap dari kandang saksi, kerani mahkamah, Christiana Kyemenu-Caiqo, akhirnya menyedari wanita berkenaan bercakap dalam dialek Krio, satu bahasa masyarakat Sierra Leone, tempat dia dan wanita itu berasal.

Hakim Nicholas Madge kemudian meminta Christiana mengangkat sumpah dan membantu menterjemahkan percakapan saksi ke bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, ia tidak banyak membantu kerana setiap keterangan saksi itu bermakna ‘Saya tidak ingat.’

Wanita itu menjadi saksi kes terhadap paderi Gilbert Deya, 61, yang menghadapi empat tuduhan merogol, satu cubaan merogol dan satu serangan seksual.

Saksi yang berasal dari Freetown, Sierra Leone, mendakwa dia menjadi sasaran pencabulan Gilbert di gerejanya selama beberapa tahun.

Deya bagaimanapun menyangkal semua tuduhan itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 5:04 AM