PEKERJA kesihatan mengangkat mayat seorang wanita yang mati akibat Ebola di daerah Aberdeen di Freetown, Sierra Leone, semalam.
PEKERJA kesihatan mengangkat mayat seorang wanita yang mati akibat Ebola di daerah Aberdeen di Freetown, Sierra Leone, semalam.

Geneva: Seorang pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam memberi amaran, 10,000 kes baru Ebola akan muncul setiap minggu dalam masa dua bulan.

Penolong Ketua Pengarah WHO, Dr Bruce Aylward mengingatkan kadar kematian akibat wabak itu meningkat kepada 70 peratus.

Bercakap pada sidang akhbar di Geneva, beliau berkata, kadar kematian itu adalah terlalu tinggi dan agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu (PBB) akan memberi tumpuan untuk mengasingkan penghidap wabak berkenaan serta menyediakan rawatan secepat mungkin.

WHO sebelum ini berkata, kadar kematian itu sekitar 50 peratus.

Menurut Aylward, sekiranya tindak balas terhadap krisis Ebola itu tidak ditingkatkan dalam masa 50 hari, lebih ramai yang akan mati.

Katanya, sepanjang empat minggu lalu, terdapat 1,000 kes baru seminggu. Angka itu bagaimanapun, termasuk kes yang disyaki, disahkan dan kes kemungkinan.

Menurutnya, WHO berhasrat mengasingkan 70 peratus pesakit itu dalam masa dua bulan sebagai langkah mengekang Ebola merebak.

WHO baru-baru ini berkata, angka kematian akibat wabak itu kini menjangkau 4,447, kebanyakannya berlaku di barat Afrika.

Jumlah kes kemungkinan dan yang disyaki pula ialah 8,914.

Sierra Leone, Guinea dan Liberia adalah negara paling teruk berdepan dengan wabak berkenaan.

Menurut Aylward, WHO memandang berat mengenai keadaan di ibu negara ketiga-tiga negara itu - Freetown, Conakry dan Monrovia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 5:39 AM