Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Polis Pulau Pinang sedang memburu pemilik Honda City yang berjaya meloloskan diri selepas berbalas tembakan dengan anggota polis ketika cuba melarikan diri dalam kejadian di Kampung Acheh, Jawi, Seberang Perai Selatan (SPS), malam tadi.

Ketua Polis negeri Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, kejadian berlaku jam 10.30 malam ketika sepasukan anggota polis yang sedang melakukan rondaan terserempak kereta berkenaan yang dipercayai dinaiki lebih daripada seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, ketika mahu membuat pemeriksaan, pemandu kereta berkenaan terus memecut kenderaannya dan ketika tiba Plaza Tol Jawi, suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota polis.

"Polis kemudian mengejar kereta suspek hampir 10 kilometer sehingga ke Plaza Tol Juru dan sekali lagi suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota polis sebelum menghilangkan diri," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini, hari ini.

Abdul Ghafar berkata, kes akan disiasat mengikut Sekyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh dan sekiranya sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 5:48 PM