AMAR mahu Amyra sentiasa di sisi malah terasa kosong tanpanya.
AMAR mahu Amyra sentiasa di sisi malah terasa kosong tanpanya.

Tanggal 22 Julai lalu termeterai ikatan antara pelakon Amar Baharin dan Amyra Rosli apabila mereka selamat melangsungkan majlis pertunangan.

Bersempena majlis itu, Amar, 31, turut mendedikasikan sebuah lagu khas buat bakal isterinya berjudul Kita.

Amar berkata, lagu itu adalah luahan hatinya kepada Amyra yang siap dirakam sejak April lalu.

“Saya memang merancang menerbitkan single. Apabila lagu ini berjaya dihasilkan, saya anggap ini adalah hadiah buat bakal isteri. Apatah lagi liriknya menceritakan mengenai luahan hati saya.

“Amyra pun tak tahu saya menerbitkan lagu ini khas untuknya. Pada mulanya dia menyangka sekadar single biasa. Pendek kata, ia adalah kejutan buatnya sempena majlis pertunangan kami baru-baru ini,” katanya.

Amar berkata, kehadiran Amyra nyata membawa sinar sekali gus membuka lembaran baru dalam hidupnya.

Sejak berkenalan hampir setahun lalu, keikhlasan dan perilaku Amyra membuatkan Amar tertarik dengannya.

“Saya tidak pernah meletakkan ciri-ciri wanita pilihan untuk dijadikan isteri. Namun, selepas mengenali Amyra saya berasakan dia sangat istimewa. Ada sesuatu dalam dirinya yang membuatkan saya tertarik untuk terus berkawan.

“Sejak itu saya perlahan-lahan mencuba untuk mengenali hati budinya sehingga terbit rasa cinta.

“Ditambah pula kami berada dalam satu pengurusan sama membuatkan hubungan itu lebih rapat. Sepanjang bersama, kami selesa berkongsi banyak perkara. Baik dalam soal kerjaya mahupun peribadi,” katanya.

Amar turut berkongsi menerusi bait lagu Kita yang kehadiran Amyra membuatkan hidupnya sentiasa ceria dan indah.

Malah, Amar berasakan hidupnya kosong tanpa Amyra.

“Kami mulai rapat sejak membintangi drama Suamiku Encik Sotong. Tak dinafikan kehadirannya membuatkan saya kembali bersemangat. Hari-hari dilalui bersama mengukuhkan lagi ikatan cinta kami.

“Hidup saya berasa kosong tanpanya. Seboleh-bolehnya saya mahu dia sentiasa berada di sisi. Alhamdulillah, selepas apa yang dirancang kini kisah dua hati sudah bersatu,” katanya.

Lagu ciptaan Jack Jafni dan Faris itu diterbitkan oleh Amar sendiri bersama Jack Jafni.

Lagu nyanyian Amar dan Jack Jupirer ini juga boleh dibeli secara online menerusi aplikasi muzik iTunes, Spotify dan Joox.

Berdebar tunggu November

Pasangan pelakon drama Cik Bunga dan Encik Sombong ini bakal melangsungkan majlis pernikahan pada 11 November ini disusuli majlis resepsi pada 12 dan 19 November.

Menurut Amar, buat masa sekarang belum ada sebarang perincian lokasi dan waktu majlis yang bakal diadakan.

Pada masa sama, persiapan bagi semua majlis mereka giat dijalankan.

“Walaupun ada masa empat bulan lagi, debarannya semakin dirasai. Banyak perkara yang masih dalam peringkat perbincangan terutama membabitkan pihak penaja.

“Memandangkan kami sibuk menjalani penggambaran drama, segala urusan dibuat pengurus kami yang juga ibu Amyra. Dia hanya mengemas kini kepada kami mengenai hasil perbincangan itu,” katanya.

Selepas selesai dengan komitmen drama masing-masing, mereka bakal terbabit dengan sebuah lagi drama bersiri berjudul Cinta Di Langit Cardiff.

“Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar, saya dan Amyra akan ke United Kingdom bagi menjalani penggambaran drama terbitan Pena Kreatif berjudul Cinta Di Langit Cardiff.

“Penggambaran di sana mengambil masa selama sebulan bermula awal September sehingga Oktober ini,” katanya.

Menurut Amar, dia lega apabila teka-teki mengenai hubungan mereka selama ini terjawab.

“Seperti saya katakan sebelum ini, jika sudah ada kepastian mengenai hubungan kami saya tidak akan berahsia kepada semua pihak. Saya tahu terlalu banyak spekulasi yang timbul sehingga ada mengatakan kami sudah bertunang dalam diam.

“Saya tidak pernah menidakkan hubungan yang terjalin. Cuma saya tidak mahu terlalu berkongsi kerana bimbang nanti berlaku perkara sebaliknya jika apa yang dirancang tak menjadi. Akhirnya nanti semua pihak malu dibuatnya,” katanya. - Sudirman Mohd Tahir

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2016 @ 12:12 PM