Simulator penerbangan yang ada di rumah jurutebang pesawat MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah. - Foto New York Daily
Simulator penerbangan yang ada di rumah jurutebang pesawat MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah. - Foto New York Daily
BERNAMA

Putrajaya: Malaysia tidak mempunyai sebarang bukti spekulasi pembabitan juruterbang pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 dalam cubaan membunuh atau bunuh diri, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Mengulas laporan media berdasarkan "data yang bocor" dari Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Liow berkata: "Seperti yang anda maklum, semua bukti yang dikumpul oleh FBI tidak diserahkan kepada pasukan penyiasat Malaysia. Kami tidak mempunyai semua bukti."

Beliau berkata siasatan mengenai kehilangan pesawat itu masih berterusan.

"Kami menyerahkan kepada pasukan penyiasat untuk mengenal pasti sebarang bukti yang mereka ada," katanya selepas menyaksikan majlis memeterai janji niaga antara Malaysia Airlines dan Boeing untuk pembelian 50 buah pesawat Boeing 737 MAX di sini, hari ini.

Pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang dari radar sejurus berlepas dari Kuala Lumpur dalam penerbangan ke Beijing pada 8 Mac, 2014 dan belum dijumpai walaupun operasi pencarian besar-besaran dijalankan di selatan Lautan Hindi.

Tiga negara - Malaysia, China dan Australia - bersetuju untuk menggantung tetapi tidak menamatkan operasi mencari pesawat malang itu selepas misi pencarian di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi selesai.

Majalah antarabangsa, New York dalam artikelnya menarik perhatian kepada laporan FBI yang bocor mendakwa Kapten Zaharie Ahmad Shah menggunakan simulator kurang sebulan sebelum kehilangan pesawat untuk latihan penerbangan merentasi selatan Lautan Hindi yang menyerupai laluan MH370.

Liow merayu kepada mereka yang mempunyai bukti berhubung MH370 supaya menyerahkannya kepada pasukan penyiasat.

"Kami tidak mempunyai bukti, jika anda mempunyai bukti, saya meminta supaya menyerahkannya kepada pasukan penyiasat," kata beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2016 @ 8:03 PM