SHARIFAH pemilik Dapur Kak Noor.
SHARIFAH pemilik Dapur Kak Noor.
SHARIFAH mencedok kuah laksa untuk penyediaan tempahan pelanggan.
SHARIFAH mencedok kuah laksa untuk penyediaan tempahan pelanggan.
ANTARA hidangan tempahan pelanggan.
ANTARA hidangan tempahan pelanggan.
NASI beriani udang lain daripada yang lain.
NASI beriani udang lain daripada yang lain.
NASI mandy kesukaan pelanggan.
NASI mandy kesukaan pelanggan.
Siti Zarinah Sahib


Aroma kuah laksa Johor dan nasi mandy menusuk hidung. Sedap sekali baunya. Di dapur kelihatan wanita berdarah campuran Arab, Cina dan Melayu mencedok kuah laksa daripada periuk besar untuk dimasukkan di dalam bekas makanan.

“Semua kuah laksa ni sudah ada tempahan. Biasanya untuk hidangan di pejabat atau majlis rumah terbuka. Tapi, hari ini tak banyak sangat tempahan. Cuma nasi mandy dan laksa Johor,” kata Sharifah Nur Aishah Al-Hadad, pengasas Dapur Kak Noor yang mengusahakan perniagaan makanan dari rumah sejak setahun lalu.

Menurut Sharifah dia hanya sanggup menerima tempahan untuk 100 bekas sehari memandangkan dia seorang melakukan semua kerja daripada mencari bahan, memasak dan membungkus tempahan sambil dibantu suami sebagai penghantar makanan. Dulu ada pekerja, tetapi disebabkan dia cerewet dari segi kebersihan dan penyediaan makanan, akhirnya semua pekerja berhenti.

Sebagai penggemar makanan, wanita ini sangat teliti terutama daripada segi bahan digunakan. Semuanya menggunakan bahan berkualiti seperti ayam dan beras untuk nasi mandy begitu juga dengan laksa serta sayur-sayuran.

Walaupun harganya sedikit mahal namun Sharifah sanggup mendapatkannya kerana merasakan dia turut cerewet dalam pemilihan makanan. Baginya masakan disediakan perlu memenuhi kriteria ditetapkan dan tidak boleh sambil lewa.

“Dalam perniagaan makanan, kualiti rasa harus dititikberatkan. Sebab itu saya menggunakan semua bahan berkualiti dan agak mahal, selain sangat konsisten supaya pelanggan tetap menikmati rasa yang sama.

“Jika bahan contohnya ikan dan udang tiada di Kuala Lumpur, saya dan suami sanggup mencari di luar Kuala Lumpur seperti Tanjung Karang. Ini yang menjadi pengikat antara makanan dan pelanggan,” katanya.

Saiz besar jadi tarikan

Menceritakan bagaimana boleh memulakan perniagaan makanan dari rumah, jelas wanita kelahiran Johor ini sejak kecil dia suka memasak. Tambah pula bakat memasak ini diwarisi daripada ibu dan nenek yang turut berkebolehan memasak pelbagai jenis makanan Johor dan Arab. Ini menyebabkan dia sering menjamu rakan dan keluarga menikmati juadah daripada air tangannya sendiri.

“Bermula dari situ ramai rakan membuat tempahan. Ada untuk majlis hari jadi, untuk makan di pejabat dan majlis rumah terbuka. Saya mula memuat naik gambar masakan menerusi Instagram. Tidak sangka ramai pula memberikan perhatian dan membuat tempahan. Maka dari situ wujudnya Dapur Kak Noor,” katanya yang menetap di Bukit Antarabangsa Kuala Lumpur.

Antara keistimewaan hidangan Sharifah adalah rasanya yang enak dan saiz pula besar. Untuk nasi mandy ayam dia menggunakan ayam berkualiti dipotong empat manakala nasi beriani udang pula menjadi kegemaran pelanggan kerana ukuran udang yang besar dan jarang didapati di kedai mamak sekitar Kuala Lumpur.

Sharifah juga tidak cerewet dalam mengambil tempahan, apa saja yang termampu dimasak akan disediakannya bukan hanya menjurus kepada nasi.

“Setakat ini ramai pelanggan menempah nasi mandy, nasi beriani, laksa Johor, ayam penyet, termasuk makaroni dan keju. Ada juga meminta memasak nasi lemak. Demi tidak menghampakan pelanggan saya turut menyediakannya.

“Namun bagi memudahkan penghantaran saya tetapkan kepada 10 bungkus ke atas untuk kawasan di sekitar Lembah Klang. Pun begitu ada juga pelanggan dari Melaka dan Johor membuat tempahan. Saya terpaksa menolak dengan baik kerana bimbang makanan tidak panas dan tumpah ketika dihantar. Kalau sudah sejuk, hilanglah nikmatnya,” katanya.

Aktiviti harian wanita ini bermula seawal jam 6 pagi apabila dia menyediakan tempahan pelanggan pada hari itu. Biasanya bahan mentah kering sudah dibeli seminggu awal bergantung kepada tempahan. Sekitar jam 10 pagi, dia sudah siap memasak dan apabila makanan mula suam baru dimasukkan di dalam bekas untuk dihantar kepada pelanggan.

“Penghantaran bergantung kepada masa yang mereka tetapkan. Ada pelanggan yang mahu untuk makan tengah hari di pejabat, mesyuarat pada waktu petang dan juadah rumah terbuka,” katanya.

Berniaga dari rumah lebih mudah

Berpengalaman membuka kedai makan namun terpaksa ditutup, Sharifah mengakui berniaga dari rumah lebih mudah kerana tidak memerlukan modal besar. Malah, kos bulanan untuk sewa kedai juga tiada. Paling penting dia boleh membuat keputusan sama ada mahu berniaga atau tidak. Namun begitu cabarannya tetap ada.

“Pada peringkat permulaan oleh kerana tidak sanggup menyediakan seorang diri dalam jumlah yang banyak, saya mengambil pekerja untuk tugas pembungkusan dan penghantaran. Tetapi, pekerja sering bertukar ganti. Ada yang tidak sanggup kerana penat dan ada juga masalah disiplin. Lama-kelamaan saya mengambil keputusan membuat seorang diri dan terpaksa mengehadkan kepada 100 bungkus saja sehari,” katanya.

Harga pasaran barang basah yang tidak menentu juga menyebabkan dia terpaksa menanggung keuntungan kecil demi kepuasan pelanggan.

Ada kala disebabkan musim hujan sayuran-sayuran menjadi mahal begitu juga ikan dan udang. Oleh kerana tidak mahu membebankan pelanggan dia terpaksa mengekalkan harga makanan.

“Memang sejak dulu harga makanan tetap sama. Saya tidak pernah menaikkan harga atau mengurangkan saiz hidangan. Saya tidak mahu membebankan pelanggan lagipun mereka membeli dan mengharapkan sesuatu daripada makanan. Selain sedap biar ia berbaloi dan disukai pelanggan,” katanya yang sangat mementingkan kebersihan dan keenakan makanan yang disediakannya.

Jelas Sharifah bukan dia tidak bercadang untuk memperbesarkan perniagaannya. Semakin lama tempahan semakin bertambah, tetapi dalam keadaan sekarang dia tidak mampu menyediakan dalam jumlah terlalu banyak. Bimbang kualiti tidak terjaga selain faktor penghantaran.

“Namun saya juga berangan-angan untuk mempunyai satu tapak perniagaan sendiri supaya dapat menyediakan dalam jumlah yang banyak. Semuanya masih dalam perancangan Insya-Allah jika pekerja sudah ada mungkin ia dapat dilakukan,” katanya yang membuat promosi menerusi Instagram Sharifahnooralhadad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 11:57 AM