AFP

Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menandatangani satu perintah bersejarah yang membenarkan rakyat mengakses penuh rekod kerajaan untuk kali pertama, kata jurucakapnya semalam.

Jurucakap Duterte, Martin Andanar berkata, perintah eksekutif yang membenarkan pendedahan dan ketelusan penuh awam oleh agensi kerajaan ditandatangani pemimpin itu kelmarin, selepas 25 hari memerintah.

Media dan kumpulan pemantau sudah bertahun-tahun mendesak reformasi maklumat berkenaan dan ia yang pertama dikuatkuasakan di negara itu.

“Perintah eksekutif yang memecah rekod kepantasan ini ditandatangani,” kata Andanar.

Media dan kumpulan antirasuah sudah lama berkempen untuk kebebasan maklumat bagi memerangi gejala rasuah yang berleluasa di negara itu.

“Langkah ini bukan saja sangat dihargai media, tetapi semua orang yang percaya terhadap ketelusan, kebertanggungjawapan dan demokrasi,” kata Kesatuan Kebangsaan Wartawan Filipina dalam satu kenyataan.

Perintah berkenaan merangkumi seluruh pejabat kerajaan pusat yang menghendaki mereka mendedahkan semua rekod, minit mesyuarat, kajian dan sebarang maklumat yang diminta orang awam.

Bagaimanapun, perintah itu tidak merangkumi maklumat yang boleh menjejaskan keselamatan negara, badan perundangan dan kehakiman.

Menurut salinan dokumen berkenaan, kerajaan tempatan juga digalakkan untuk mematuhi dan berpandukan perintah ini.

Satu rang undang-undang yang membenarkan kebebasan prosedur maklumat terhadap badan awam di seluruh negara termasuk Kongres dan mahkamah masih tergantung selama bertahun-tahun di Dewan Perwakilan.

Senator Grace Poe yang menyokong undang-undang kebebasan maklumat itu berkata, langkah diambil Duterte adalah satu kejayaan besar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2016 @ 10:49 AM