SELENDANG segera yang mudah digayakan untuk ke mana saja.
SELENDANG segera yang mudah digayakan untuk ke mana saja.
Hajahfarhana Tarmudi


Bermula dengan menjual baju kurung dan kain kapas pada 2012, Fadzilah Mamat mula mengubah strategi perniagaannya dengan memperkenalkan koleksi hijab kerana berasakan ia antara produk yang lebih mudah dijual di pasaran.

Selepas dua tahun memberi fokus kepada rekaan hijab, dia mengorak langkah berani dengan memperkenalkan koleksi pakaian seperti blaus dan jubah pula.

“Saya mulakan perniagaan ini dengan semangat dan impian yang besar tanpa sebarang pengalaman mahupun mengenali individu yang aktif dalam dunia kerjaya serba mencabar ini.

“Saya lihat pada butik yang sudah berjaya dan dikenali ramai selain banyak bertanya untuk mempelajari selok-belok dunia perniagaan.

“Kini, saya sangat bersyukur kerana kurang dari empat tahun kami mampu mengembangkan pasaran dan memiliki 18 butik,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas butik Benang Hijau ini membuka butik ke-17 di Cyberjaya, baru-baru ini sebelum meluaskan jenamanya ke Kota Bharu, Kelantan.

Bermula harga RM19 hingga RM69, terdapat koleksi bawal, selendang segera dan tudung segera dengan pelbagai rekaan serta pilihan warna menarik.

Bersama dekorasi sederhana dan ruang selesa, pengunjung juga disajikan dengan koleksi helaian pakaian terkini seperti blaus dan jubah yang menarik.

Bagi menampilkan jenama yang lebih eksklusif, penjenamaan semula dilakukan dengan penampilan logo terkini sempena pembukaan butik barunya itu.

“Untuk pembukaan butik ini, kami memperkenalkan empat rekaan blaus dan satu tudung terkini di samping koleksi biasa yang boleh didapati di semua lokasi.

“Pada masa sama, kami juga mengadakan peraduan ‘Ibuku’ bermula 1 Mei hingga 31 Julai sejajar dengan rasa syukur melancarkan butik ini secara rasmi,” katanya.

Ujarnya, pemenang peraduan yang bertuah akan dipilih setiap bulan dan berpeluang memenangi pakej umrah bersama ibu tersayang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2016 @ 5:01 AM