YAMAHA Tracer MT-09.
YAMAHA Tracer MT-09.
RIM belakang unik.
RIM belakang unik.
LAMPU hadapan yang bergaya.
LAMPU hadapan yang bergaya.
CAKERA brek berkembar.
CAKERA brek berkembar.
Erywan Norshal


Selepas memperkenalkan motosikal ‘naked’, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) Sdn Bhd kini memperluaskan lagi rangkaian jentera berkuasa tinggi dengan memperkenalkan motosikal ‘touring’ menerusi Tracer MT-09.

Model baharu itu melengkapkan keluarga motosikal berkuasa tinggi jenama Yamaha membabitkan model XJ6, MT07, MT-09 dan XV950R.

Kehadirannya juga dilihat untuk memberi pelbagai pilihan kepada pelanggan bagi memilih jentera yang sesuai dengan gaya hidup mereka. Kembar kepada Yamaha MT-09 itu diimport sepenuhnya dari Jepun di mana turut berkongsi enjin suntikan bahan api tiga silinder bersesaran 847cc.

Ia menawarkan prestasi terbaik dengan tork yang tinggi untuk membawa jentera seberat 190 kilogram (berat kering) sekali gus menawarkan gaya tunggangan menyeronokkan.

Pada masa sama, ia dilengkapi ciri keselamatan terkini membabitkan Sistem Kawalan Tarikan (TCS) serta Sistem Brek Antikunci (ABS).

Jika dilihat situasi pasaran tempatan, jentera itu bakal saingan kepada model touring popular menerusi Kawasaki Versys, biarpun harga dan spesifikasi enjin sangat berbeza dengan Yamaha Tracer MT-09.

Jentera itu yang diperkenalkan pada Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2014 hadir dengan ciri tempat duduk lebih selesa, penghadang angin hadapan dan posisi tunggangan menegak.

Bagi menyesuaikan motosikal tunggangan jarak jauh, tangki petrol direka lebih besar iaitu 18 liter berbanding model naked hanya 14 liter.

Buat masa ini, HLYM hanya menawarkan satu warna iaitu biru yang dijual pada harga RM59,900 tidak termasuk cukai jalan dan insurans. Ia akan berada di pengedar Yamaha terpilih bermula pertengahan Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2016 @ 5:01 AM