Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Dua anggota polis yang maut akibat dihempap pokok tumbang disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas selepas terperangkap dalam sebuah kontena, semalam.

Mangsa Koperal Dzulkhairi Ahmad, 48, dan Konstabel Mohd Sharil Hisham Hashamdi, 25, selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 9.30 pagi ini.

Kedua-dua mangsa di bawa ke Masjid Bukit Aman, di sini, untuk dimandi dan disembahyangkan sebelum kedua-dua jenazah dikebumikan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, jenazah Mohd Shahril akan di bawa ke Tambunan, Sabah manakala Dzulkhairi di bawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Kerinchi, di sini, untuk dikebumikan.

Semalam kedua-dua anggota polis itu maut apabila sebatang pokok menghempap sebuah kontena yang dijadikan pondok polis ketika dua mangsa sedang bertugas di dalamnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 11:36 AM