Ardyhansah Amat dan Mohd Ruzaini Zulkepli


Lahad Datu: Konsulat Republik Indonesia di Tawau belum menerima sebarang aduan dakwaan penculikan tiga rakyatnya.

Mereka dikatakan diculik sekumpulan lima lelaki bersenjata, di perairan FELDA Sahabat 16, dekat sini, malam tadi.

Konsul Prakoso Wicaksono berkata, pihaknya tidak dapat membuat pengesahan mengenai dakwaan itu.

“Kami masih mencari maklumat terperinci mengenainya termasuk menghubungi pihak berkaitan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, hari ini.

Difahamkan, dalam kejadian 11.40 malam tadi, semua mangsa bersama lima rakan sekerja mereka sedang melakukan kerja penangkapan ikan di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, lima lelaki bersenjata tiba-tiba menaiki bot menghampiri mereka sebelum melarikan ketiga-tiga mangsa berbabit.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd Rashid Harun enggan mengulas lanjut mengenainya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2016 @ 1:37 PM