Bangkai kereta yang digunkan untuk meletupkan bom di Karrada, Baghdad. - Foto REUTERS
Bangkai kereta yang digunkan untuk meletupkan bom di Karrada, Baghdad. - Foto REUTERS
BBC

Baghdad: Sekurang-kurangnya 75 terbunuh dan 100 lagi cedera akibat serangan bom kereta dipercayai dilakukan militan Negara Islam (IS) di Baghdad hari ini.

Dalam serangan pertama, bom kereta dipercayai dipandu penyerang nekad meletup dekat sebuah restoran di kawasan perniagaan Karrada selepas maghrib (awal pagi waktu Malaysia) yang sesak dengan orang ramai membeli-belah menjelang Aidilfitri.

Bom kedua meletup tidak lama kemudian di kawasan penduduk Syiah di utara Baghdad.

Serangan bom itu berlaku seminggu selepas tentera Iraq menawan kembali bandar Falluja dari IS. Bandar itu menjadi pangkalan IS melancarkan serangan terhadap Baghdad.

IS hari ini mengaku bertanggungjawab melakukan serangan di Karrada yang bom berkenaan meletup ketika ramai sedang berbuka puasa di restoran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2016 @ 3:50 PM