ROONEY dikhabarkan akan meninggalkan Everton sekiranya Allardyce kekal bersama Toffees. FOTO/AFP
ROONEY dikhabarkan akan meninggalkan Everton sekiranya Allardyce kekal bersama Toffees. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Penyokong Everton patut tahu hujung minggu ini sama ada Wayne Rooney dan pengurus Sam Allardyce akan bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu musim depan.

Allardyce menyelamatkan kelab itu daripada situasi meruncing apabila beliau mengambil alih November lalu namun penyokong mengkritik corak permainannya dan dikhabarkan Rooney mahu meninggalkan kelab itu jika bekas pengurus England itu kekal.

Rooney dilaporkan bersetuju dengan perjanjian bernilai £12.5 juta (RM70 juta) bersama DC United dari Liga Bolasepak Utama (MLS) Amerika Syarikat yang akan menyaksikan pemain berusia 32 tahun itu meninggalkan kelab masa kecilnya hanya 12 bulan selepas kembali menyertai mereka dari Manchester United.

Allardyce memberitahu Sky Sports kelmarin, potensi perpindahan bekas pemain kebangsaan England itu “kini tidak boleh saya putuskan.”

“Ia tertakluk kepada wakilnya dan lembaga pengarah di sini, yang mana saya percaya mungkin Rabu ini,” kata Allardyce.

Allardyce berkata, beliau tidak tahu sama ada akan mengendalikan pasukan itu musim depan ketika Everton sudah membuat perubahan dengan pengarah teknikal kelab juara Belanda, PSV Eindhoven, Marcel Brands memberitahu akhbar Sunday Mirror beliau akan menjadi pengarah bola sepak di kelab itu.

“Siapa tahu apa yang akan berlaku selepas ini?” kata pengendali berusia 63 tahun itu.

“Musim sudah berakhir, saya akan bermesyuarat dengan (pemilik) Farhad (Moshiri) minggu ini dan kemudian saya akan bercuti.”

Bulan lalu, Allardyce menolak soal selidik dihantar kepada penyokong meminta mereka memberikan gred persembahannya daripada maksimum 10 sebagai satu kesilapan pengarah pemasaran kelab itu, yang beliau anggap tidak “faham” mengenai bola sepak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 8:17 AM