Oleh Ferzalfie Fauzi

Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyenaraikan lima calon terakhir untuk melalui proses temuduga bagi memegang jawatan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) menggantikan tempat Datuk Seri Zolkples Embong.

Menurut Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (gambar), daripada lima calon akhir seorang daripadanya adalah calon dari luar negara.

“Proses temuduga bermula minggu depan dan kami sudah mempunyai lima calon dan keputusannya akan diketahui nanti,” katanya dalam sidang media mengenai insiden penyokong Piala AFF di Menara KBS semalam.

Pada 4 November lalu KBS mengiklankan jawatan kekosongan Ketua Pengarah MSN di laman web rasmi kementerian berkenaan bagi mencari pengganti Zolkples susulan prestasi hambar kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Komanwel Glasgow dan Sukan Asia Incheon.

Kontinjen negara gagal mencapai sasaran pingat emas pada kedua-dua temasya berkenaan dengan enam emas di Glasgow, kurang satu daripada tujuh yang disasarkan, manakala di Incheon, Malaysia sekadar meraih lima emas daripada lapan yang ditetapkan.

Sebanyak 43 permohonan diterima KBS selepas tarikh tutup pada 24 November lalu dan hanya lima yang disenaraikan pendek untuk ditemuduga bagi memegang jawatan itu.

Individu yang berminat memohon jawatan itu sama ada rakyat tempatan atau asing perlu menghantar resume serta karangan tidak melebihi 2,000 patah perkataan mengenai misi dan perancangan mereka.

Zolkples, yang mula memegang jawatan Ketua Pengarah MSN sejak 2007 kini diberikan jawatan baru, Ketua Pegawai Eksekutif Sukan SEA 2017 di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 7:17 AM