PENDUDUK membersihkan rumah mereka selepas dilanda banjir lumpur. FOTO Amran Hamid
PENDUDUK membersihkan rumah mereka selepas dilanda banjir lumpur. FOTO Amran Hamid
Oleh Omar Osman


Yan: Penduduk Kampung Singkir Darat dan Kampung Singkir Genting, di sini, berdepan dengan pengalaman menakutkan apabila kediaman mereka bergegar dirempuh arus banjir lumpur yang turut menghanyutkan beberapa kereta, petang hari ini.

Dalam banjir lumpur yang menyebabkan kira-kira 100 rumah dinaiki air hingga separas satu meter itu, kebanyakan penduduk gagal menyelamatkan barangan berharga.

Penduduk Kampung Singkir Genting, Fadhil Khamis, 47, berkata dia sedang berehat di dalam rumah apabila dikejutkan dengan air bercampur lumpur secara tiba-tiba memasuki kediamannya, kira-kira 5 petang.

Menurutnya, lebih menakutkan rumahnya bergegar selain pintu serta cermin nako pecah akibat dirempuh arus deras.

Malah, katanya, lebih mengejutkan dua keretanya turut dihanyutkan air hampir 30 meter dari tapak parkir.

"Apabila melihat air naik mendadak, saya mengarahkan enam anak naik ke tingkat atas rumah kerana bimbang keadaan menjadi lebih buruk," katanya.

Bagaimanapun, katanya, banjir lumpur itu surut semula kira-kira setengah jam kemudian.

Jurucakap bomba ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan operasi menyelamat penduduk turut dilakukan ketika kejadian.

Menurutnya, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan ketika banjir melanda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 9:48 PM