Ravindran diminta tampil di balai polis berhampiran bagi bantu siasatan.
Ravindran diminta tampil di balai polis berhampiran bagi bantu siasatan.
Norizuan Shamsuddin

Sentul: Dua lelaki berusia 20-an cedera selepas ditetak sekumpulan lelaki berhampiran kuil di Jalan Sentul, di sini, 10.30 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan satu pergaduhan berlaku di kawasan terbabit.

Katanya, apabila tiba di lokasi didapati suspek cuba melarikan diri dan dua mangsa berkenaan terbaring di tepi jalan.

"Salah seorang daripada mangsa cedera di kepala, manakala rakanya cedera di bahagian belakang dan mereka di bawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

"Anggota polis juga berjaya menangkap salah seorang daripada suspek dan merampas sebilah parang selepas mengejarnya.

"Hasil siasatan mendapati pergaduhan berlaku selepas suspek tidak berpuas hati dengan salah seorang mangsa yang membuat bunyi bising dengan motosikal di hadapan mereka tiga hari sebelum kejadian," katanya ketika ditemui, di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, hari ini.

Munusamy berkata, suspek lelaki berusia 22 tahun terbabit kini direman untuk siasatan lanjut.

Katanya, polis turut mengesan seorang lagi rakan suspek, Ravindran Maninurasu, 19, untuk membantu siasatan.

"Kita harap individu berkenaan dapat tampil di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 10:27 PM