BERNAMA

Kuala Lumpur: Akibat menampar, meludah dan menyepak isteri, seorang pembaiki penyaman udara dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini, hari ini.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Suhaime Sariman, 28, selepas tertuduh mengaku bersalah bagi dua pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada isterinya, Azirah Jeffery, 21, lima hari lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di tangga rumah kedai dan dalam bilik sewa sebuah rumah kedai di alamat No 31B-13, Jalan Pandan Indah 1/23, Pandan Indah, di sini, pada 1.10 pagi dan 1.30 pagi, 15 Jun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan manakala lapan bulan bagi pertuduhan kedua serta memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 16 Jun.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, berlaku perselisihan faham antara tertuduh dan mangsa yang bekerja di kedai peralatan sukan di tempat kerja mangsa dan tertuduh menampar serta meludah kepala isterinya.

Apabila mangsa pulang ke bilik sewa, tertuduh sekali lagi mencederakan mangsa dengan menarik tangannya dengan kuat, menolak sehingga jatuh dan menyepak kakinya.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu dia perlu menyara empat anak serta seorang ibu yang menghidap sakit jantung dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap.

Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira tindakan tertuduh yang tidak wajar kerana dia sebagai suami sepatutnya melindungi isteri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 5:52 PM