AMYLIA.
AMYLIA.
Syafil Syazwan Jefri


Tempoh lima tahun memberi ruang kepada pelakon, Amylia Nastasha Aziz untuk berehat sepenuhnya daripada bergelar anak seni.

Kini, pelakon berusia 35 tahun ini kembali beraksi dan ingin meneruskan kariernya dalam bidang lakonan di samping kerjaya tetapnya sebagai pramugari.

“Memang dalam tempoh itu saya berehat sepenuhnya daripada bidang lakonan. Kini, semangat saya kembali membara,” katanya.

Menurutnya, dia ingin mengembangkan lagi lakonannya memandangkan sebelum ini, masanya sedikit terhad.

“Insya-Allah, dengan adanya peluang untuk muncul semula dalam industri hiburan, saya akan cuba sebaik mungkin,” katanya.

Ditanya sama ada dia cerewet dalam pemilihan watak, Amylia sendiri tidak pernah mengharapkan watak utama, sebaliknya menerima apa sahaja watak yang ditawarkan.

“Saya sedar usia 35 tahun ini, saya sendiri tidak pernah berharap untuk ditawarkan watak utama. Jadi, kalau ada rezeki, maka adalah watak untuk saya.

“Kalau boleh, saya teringin untuk membawakan watak jahat kerana watak sebegitu mudah melekat dalam jiwa penonton. Selain itu, saya juga ingin mencuba watak sedih,” katanya.

Ditanya mengenai rujukannya dalam lakonan, Amylia banyak membuat rujukan menerusi watak daripada filem Hollywood dan tempatan.

Terbaru, Amylia kini membintangi filem Anak Mami Nasi Kandaq yang akan mula ditayangkan di pawagam menjelang Aidilfitri ini.

Selain berlakon, dia yang juga bertugas sebagai pramugari di syarikat penerbangan AirAsia bersyukur kerana pihak pengurusan memahami minatnya dan memberikan jadual yang fleksibel.

“Di samping bekerja, saya juga mempunyai masa yang fleksibel. Sekiranya ada masa terluang saya akan penuhi jadual dengan lakonan. Pada masa sama, saya juga punya masa untuk bersama dua anak saya iaitu Muhammad Altaf Iskandar, 13, dan Qaseh Nur Qistina, 9,” katanya.

Ditanya sama ada kerjayanya sebagai pramugari dapat membantunya meningkatkan keyakinannya dalam lakonan, dia tidak menolak kenyataan itu.

“Sebagai pramugari, setiap hari saya akan bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat dengan berbeza latar belakang. Ini sedikit sebanyak membantu dari segi keyakinan diri untuk berhadapan dengan kamera dan sebagainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 7:35 AM