ABDUL RASHID menunjukkan dadah yang dirampas di Lapangan Terbang Tawau. FOTO Norasikin Daineh
ABDUL RASHID menunjukkan dadah yang dirampas di Lapangan Terbang Tawau. FOTO Norasikin Daineh
Norasikin Daineh


Tawau: Polis Sabah merampas 5.121 kilogram dadah jenis syabu dan menahan dua lelaki di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Tawau, malam tadi.

Tangkapan dibuat pada 7.15 malam selepas pemeriksaan dibuat terhadap lelaki berusia 36 tahun yang baru tiba dari Kuala Lumpur menggunakan penerbangan komersial.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun berkata, lelaki terbabit dibawa ke Balai Polis Lapangan Terbang Tawau dan hasil pemeriksaan terhadap bagasi serta kotak yang dibawa suspek menemui dua bungkusan disyaki dadah.

"Satu bungkusan mengandungi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah dengan anggaran berat 3.074 kg dan satu lagi bungkusan juga berisi dadah dengan berat 2.047 kg.

"Susulan kejadian itu, polis juga menangkap lelaki berusia 43 tahun di hadapan Balai Ketibaan lapangan terbang yang dipecayai rakan kepada suspek pertama," katanya ketika ditemui dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, hari ini.

Abdul Rashid berkata, dadah bernilai RM360,000 itu dirampas dan dua lelaki terbabit ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 12:22 PM