pembalut hadiah dan kad ucapan yang musnah selepas raknya terbakar. FOTO ihsan bomba
pembalut hadiah dan kad ucapan yang musnah selepas raknya terbakar. FOTO ihsan bomba
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Dalam tempoh 20 minit, rak di dua premis menjual pakaian dan buku di pusat beli-belah Terminal 1 dan Terminal 2, di sini, terbakar, tengah hari tadi.

Dalam kejadian pertama pada 1.37 tengah hari, rak pembalut hadiah dan kad ucapan di kedai buku di Terminal 1 terbakar secara tiba-tiba, dipercayai akibat perbuatan khianat menyebabkan pembalut hadiah dan kad ucapan di situ terbakar.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban Mohamad Idris berkata, sebuah jentera dengan kekuatan 10 anggota ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, api sudah berjaya dipadamkan oleh pekerja kedai berkenaan.

Menurutnya, kejadian kedua berlaku pada 1.58 tengah hari membabitkan kebakaran kecil pada rak pakaian kanak-kanak di sebuah kedai menjual pakaian di Terminal 2, yang terletak kira-kira 700 meter dari lokasi pertama menyebabkan pakaian di situ terbakar.

Katanya, kebakaran itu juga berjaya dipadamkan pekerja sebuah pasaraya berhampiran menggunakan alat pemadam api.

"Bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan kerugian dialami," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 5:28 PM