PERSEMBAHAN Soffi ternyata memikat.
PERSEMBAHAN Soffi ternyata memikat.
Ridzuan Abdul Rahman


Dua dekad berkecimpung dalam industri hiburan tanah air menjadikan Soffi Jikan semakin matang melayari kariernya.

Bermula sebagai kru penggambaran, Soffi berpeluang mencanai bakat sebagai pelakon dan persembahannya baik dalam drama mahupun filem tidak pernah menghampakan.

Soffi pernah diangkat sebagai Abang Long untuk program realiti Rockers terbitan KRU Studios yang disiarkan menerusi HyppTV pada tahun lalu.

Pemilik nama sebenar Muhammad Soffi Jikan ini memanfaatkan segala ilmu yang diperoleh dengan menampilkan persembahan terbaik dalam program realiti nyanyian Gempak Superstar yang disertainya.

Bahkan, persembahan Soffi pada minggu keempat yang berlangsung di Studio Pinewood Studios, Iskandar Johor turut disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria dan Ria HD mendapat pujian pengasas D Herbs, Datuk Aliff Syukri selaku penaja utama.

“Alhamdulillah, semakin ramai mula menyukai persembahan saya dalam program ini. Menerusi Gempak Superstar, saya keluarkan apa saja kebolehan yang ada untuk memikat juri dan penonton.

“Malah, saya selalu buat persediaan ibarat persembahan final kerana mahu menarik perhatian peminat. Apatah lagi saya tidak ada kelab peminat seperti peserta lain,” katanya.

Bintang filem KL Gangster ini mengakui pembabitan dalam program itu sedikit-sebanyak membuatkan dirinya tertekan.

“Semakin dekat giliran saya beraksi di atas pentas, tekanannya semakin kuat. Namun, saya belajar terima hakikat dan setiap minggu bersedia sekiranya ditakdirkan tersingkir.

“Kerjaya saya penuh warna-warni sepanjang tempoh 20 tahun ini. Gempak Superstar membuka ruang kepada saya menyerlahkan bakat sebenar kerana sememangnya saya sukakan pentas.

“Satu ketika dulu saya aktif sebagai pelakon teater, jadi persembahan yang menggabungkan lakonan dan nyanyian dalam Gempak Superstar membolehkan saya menunjukkan kemampuan diri,” katanya.

Soffi juga meminta peminat menilai persembahannya dengan jujur dan mengiktiraf dengan cara yang betul.

“Saya buat apa yang perlu dan tak pandai ‘berdrama’. Saya bekerja keras untuk program ini kerana bukan mudah menggali idea agar persembahan jadi menarik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 5:03 AM