Wakil Yayasan Restu Mohd Taufik Izham Ismail (kanan) menerangkan kepada pengunjung replika Pedang Ja'far Al-Thayyar.  -Foto Bernama
Wakil Yayasan Restu Mohd Taufik Izham Ismail (kanan) menerangkan kepada pengunjung replika Pedang Ja'far Al-Thayyar. -Foto Bernama
BERNAMA

Johor Bahru: Kesan tapak kaki Nabi Muhammad SAW, cebisan capal, cebisan jubah dan helaian rambut berusia lebih 1,000 tahun antara peninggalan warisan baginda yang dipamerkan pada Pameran Tabarruk Warisan Salafussoleh di Galeri Ghulam, di sini, bermula semalam.

Ketua Pegawai Operasi Yayasan Restu Mohd Taufik Izham Ismail berkata, ia susulan pameran di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, Shah Alam, bulan lalu.

“Sebanyak 50 barangan peninggalan serta warisan Nabi Muhammad dipamerkan bertujuan memupuk rasa kecintaan umat Islam kepada junjungan Nabi," katanya

di sini, hari ini.

Beliau berkata barangan itu dipinjam daripada Masjid Jama' New Delhi, India, dan berada dalam jagaan waris Nabi Muhammad SAW selama lebih 350 tahun.

Selain itu, turut dipamer replika pedang milik nabi, pedang Al-Hatf yang dihadiahkan kepada Saidina Ali serta replika pedang utama Nabi, pedang Al-Mathur yang dikatakan digunakan Nabi setiap kali berdoa sebelum sebarang peperangan bagi mengharapkan kemenangan.

Pameran anjuran Yayasan Restu dan Jemaah Malabar Muslim Negeri Johor itu berlangsung sehingga Ahad ini dengan bayaran masuk bagi dewasa adalah RM10 manakala kanak-kanak RM5.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 6:38 PM