Nor Hanisah Kamaruzaman


Kreatif dan inovatif. Itulah yang dapat penulis gambarkan ketika menghayati hasil karya artis muda dari Studio Sarang Batu ini.

Fazrin Abd Rahman, 27, yang berasal dari Batu Pahat, Johor mengakui gemar melakukan eksperimen dengan menghasilkan karya ‘sulaman’ gabungan teknik penghasilan arca dan lukisan.

“Dulu ketika berada di kampung saya selalu hasilkan kraf tangan tradisional iaitu sulaman menggunakan buluh.

“Apabila tinggal di bandar, saya dapati sukar untuk dapatkan buluh sebagai sumber jadi saya beri kelainan dengan membuat sulaman menggunakan medium aluminium,” katanya.

Anak muda lulusan ijazah sarjana muda dalam jurusan arca itu menggunakan medium cat semburan dan aluminium dalam penghasilan karyanya.

“Walaupun saya dari jurusan arca, tapi gemar bereksperimen dengan menghasilkan karya lukisan daripada campuran media.

“Jadi saya gunakan cat semburan yang akan disembur di atas sulaman kepingan aluminium yang saya potong terlebih dulu sebelum disulamkan,” katanya.

Fazrin turut berharap penghasilan seni seumpama itu bukan saja relevan dan memberi nafas baru malah mampu mengangkat nilai seni dan kraf tangan tradisional ke satu tahap yang baru.

INFO

- Nama: Fazrin Abd Rahman

- Usia: 27 tahun

- Pendidikan: Ijazah Pengkhususan Arca dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) Universiti Teknologi MARA (UiTM)

- Studio: Sarang Batu, Ara Damansara

- Instagram: @fazrin.abdrahman

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2016 @ 7:44 AM