YAP menunjukkan cenderahati untuk pengunjung yang hadir di pameran Perfect Lifestyle ‘16 Home & Living Exhibition.
YAP menunjukkan cenderahati untuk pengunjung yang hadir di pameran Perfect Lifestyle ‘16 Home & Living Exhibition.
Sofyan Rizal Ishak

Shah Alam: i.Star Ideas Factory Sdn Bhd (i.Star), penganjur pameran kelengkapan, produk hiasan dan hiasan kediaman Perfect Lifestyle ‘16 optimis mampu untuk mencapai jualan RM15 hingga RM20 juta serta menerima sehingga 50,000 pengunjung bagi acara yang berlangsung mulai semalam hingga 5 Jun ini.

Pengarahnya, Jason Yap berkata, keyakinan itu berdasarkan jualan yang dicatatkan acara terbabit pada Januari lalu di mana ia berjaya menjana jualan lebih baik berbanding tempoh masa sama bagi 2015 dan 2014.

“Kami lihat trend pembelian produk berkaitan kelengkapan dan hiasan rumah juga kini kembali meningkat berbanding tahun lalu dan 2014, sekali gus memberi petunjuk bahawa kami mampu untuk mencapai sasaran jualan untuk kali ini,” katanya pada sidang media Perfect Lifestyle ‘16 di sini, semalam.

Perfect Lifestyle ‘16 sedang berlangsung dari semalam hingga 5 Jun ini di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam di mana ia menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pengunjung terutama sebagai persediaan menjelang musim perayaan tidak lama lagi.

Beliau berkata, pameran terakhir bagi separuh pertama tahun ini disertai kira-kira 100 pemamer melalui 350 ruang pameran di mana kebanyakan daripada pemamer menawarkan pelbagai pakej dan tawaran menarik untuk direbut pengunjung.

Menurutnya, antara tarikan utama pameran itu pada kali ini, pengunjung berpeluang memenangi hadiah utama iaitu dua trak Isuzu D-Max apabila melakukan pembelian bernilai RM500.

“Pameran kali ini adalah peluang terakhir mereka untuk memenangi hadiah ini di mana mereka boleh meneka jumlah bantal yang diletakkan dalam dua trak itu sebelum kami mula melakukan cabutan pemenang pada Julai ini,” katanya.

Pada masa sama, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai tawaran menarik lain seperti ‘Welcome Gift’, ‘Double Bonanza’, ‘Big Deals’, ‘Low Price Bid’ dan ‘Crazy Deals’ sepanjang penganjuran Perfect Lifestyle ‘16 selama tiga hari itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2016 @ 5:03 AM