YAP menunjukkan hadiah botol minuman untuk pengunjung bertuah yang datang ke Perfect Livin’17 di SASICC, Kuantan.
YAP menunjukkan hadiah botol minuman untuk pengunjung bertuah yang datang ke Perfect Livin’17 di SASICC, Kuantan.
Asrol Awang

Kuantan: i.Star Ideas Factory Sdn Bhd (i.Star), penganjur pameran kediaman dan gaya hidup Perfect Livin’17 meletakkan sasaran untuk mencapai jualan mencecah RM15 juta sepanjang empat hari pameran itu berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC), di sini, bermula semalam.

Dengan jangkaan 50,000 kehadiran, pameran itu bukan saja menyasarkan pengunjung dari Kuantan malah warga Terengganu dan Kelantan dijangka tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan kelengkapan diidamkan.

Pengarahnya Jason Yap berkata, sasaran jualan itu dijangka tercapai memandangkan ia lebih kepada persediaan orang ramai khususnya masyarakat Islam untuk menyambut Aidilfitri bulan depan.

Katanya, pengunjung dijangka membuat persiapan sempena sambutan Aidilfitri dan dengan adanya pameran itu banyak pilihan disediakan terutama kelengkapan rumah seperti perabot dan barangan elektrik.

“Kali ini, 300 ruang pameran mengandungi pelbagai kelengkapan dan perabot baru jenama tempatan dan antarabangsa terkenal dipamerkan bagi memberi pilihan kepada pengunjung.

“Kami jangka 50,000 pengunjung hadir ke Perfect Livin’17 sepanjang empat hari ia berlangsung untuk memberi mereka pilihan terbaik kerana harga ditawarkan juga berpatutan,” katanya, semalam.

Yap berkata, sebanyak 2,000 botol minuman percuma turut diberikan kepada pengunjung bertuah dan mereka yang mendaftar turut berpeluang memenangi barangan elektrik setiap hari.

Menurutnya, pengunjung yang berbelanja RM1,000 ke atas turut berpeluang memenangi hadiah wang tunai dan barangan berjumlah RM100,000.

“Pameran ini diharap membantu merealisasikan impian pengunjung yang mahu menghias rumah mereka dengan kelengkapan baru sekali gus memeriahkan sambutan Aidilfitri kepada mereka yang menyambutnya nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 2:57 AM