Oleh Norhayati Nordin

Meskipun sudah berusia 44 tahun, namun penyanyi terkenal Fauziah Latiff masih jelita.

Ditambah pula dengan kemunculannya menggayakan potongan rambut pendek, Fauziah yang mesra disapa Jee itu kelihatan lebih muda berbanding usianya.

Apapun, tidak sukar untuk mendekati penyanyi yang cukup popular dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu dan Dia ini kerana dia mesra dan tenang tatkala berbicara.

Tutur katanya juga diatur dengan baik serta sedikit pun Fauziah tidak melatah tatkala dirinya didakwa segelintir penggemar muzik tanah air sudah tidak boleh menyanyi lagi.

Fauziah ketika ditemui pada majlis pelancaran novel Mutiara Hatiku Rafflesia tulisan Bill Bora di ibu kota kelmarin berkata, dia tidak kisah dengan semua dakwaan atau tanggapan negatif dilemparkan.

"Saya tidak pernah ambil hati pun pada dakwaan atau tanggapan kurang enak dilemparkan kerana mulut manusia tidak mampu ditutup.

"Biarlah mereka hendak kata apa saja kerana ia hak masing-masing untuk menyukai dan menyokong saya atau sebaliknya.

"Saya akui memang sudah lama tidak rakam lagu baru. Bukan tidak mahu melakukannya, tetapi saya mencari lagu sesuai dan mampu membawa impak diinginkan.

"Apatah lagi, saya tidak merakamkannya (lagu) di atas paksi melakukan kemunculan semula, sebaliknya untuk memenuhi permintaan peminat," katanya.

Turut menyambut baik kemunculan barisan penyanyi baru yang disifatkan berbakat, Fauziah berkata, apa yang penting mereka perlu dikenali dengan imej sendiri.

Katanya, pada era dia membina nama bersama rakan seangkatan yang lain, ketika itu setiap penya­nyi yang muncul memiliki aura masing-masing.

Berkongsi juga mengenai pengalamannya yang pernah menjadi juri program realiti TV Malaysian Idol suatu ketika dulu, Fauziah juga sudah layak untuk bergelar mentor.

Mengakui tanggungjawab untuk menjadi mentor itu berat, Fauziah berkata, dia seorang yang cerewet dalam memilih anak didik.

"Saya rasa belum sesuai untuk menjadi pendidik. Ia satu tanggung­jawab yang berat dan saya pula se­orang yang cerewet.

"Jadi, lebih baik saya tidak melakukannya dan selesa hanya menjadi juri saja," kata ibu kepada dua orang cahaya mata, Jeffri Joaquim Indot, 14, dan Jeremy Jay Indot, 12, ini.

Menurut wanita genit yang sukakan sukan lasak seperti menunggang motosikal berkuasa tinggi ini, dia selesa dengan perjalanan kehidupannya kini.

Janji muncul single baru

Lumrah anak seni, pastinya sukar untuk memadam kerinduan pada karier diceburi sejak sekian lama. Begitulah juga impian di hati Fauziah.

Katanya, dia tidak pernah lupa untuk masuk semula ke dalam studio merakamkan lagu. Cuma sekarang bukan masa­nya.

"Saya sebenarnya terlalu sibuk de­ngan pelbagai aktiviti yang diatur. Apatah lagi saya juga terbabit dengan konvoi bermotor.

"Minat saya pada menungang motosikal sudah lama dan ditambah sekarang pun saya ada kelompok rakan yang memiliki minat sama.

"Namun, saya janji apabila tiba masanya dan mendapat lagu yang sesuai, saya akan merakamkannya untuk peminat. Namun, bila masanya itu saya tidak tahu," katanya.

Mengulas mengenai banyak insiden tak di­ingini menimpa penunggang motosikal berkuasa tinggi sepertinya sejak kebelakangan ini, Fauziah berkata, perkara sebegitu memang tidak dijangka.

Katanya, perasaan bimbang di hati semestinya ada dan tak mampu dielak, tetapi segala yang berlaku itu adalah ketentuan takdir.

Berbicara juga mengenai pandangannya terhadap kemunculan rakannya, Amelina ke dunia hiburan selepas berbelas tahun menyepi, Fauziah berkata dia tumpang gembira.

"Saya seronok apabila dapat tahu dia (Amelina) mahu membuat kemunculan semula dalam bidang nyanyian. Pada saya dia perlu lakukannya.

"Memang saya suka dengan keputusan dibuat Amelina itu. Sebagai rakan sesama artis, saya akan sentiasa memberi dia sokongan," katanya.

Menurut Fauziah, dia sentiasa mengharapkan rakan artis seangkatannya berjaya dalam karier mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 5:00 AM