TRELER membawa muatan balak terbalik di Kilometer 65 Jalan Gua Musang-Kuala Krai. FOTO ihsan pembaca
TRELER membawa muatan balak terbalik di Kilometer 65 Jalan Gua Musang-Kuala Krai. FOTO ihsan pembaca
Nor Fazlina Abdul Rahim


Gua Musang: Sebuah treler yang membawa muatan kayu balak terbalik dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 65, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, petang tadi.

Kejadian jam 6.30 petang itu menyebabkan pemandu treler cedera ringan dan laluan di dua-dua arah mengalami kesesakan sehingga lima kilometer disebabkan kayu balak yang jatuh menghalang laluan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kemalangan itu membabitkan lima kenderaan iaitu sebuah treler dan empat kereta.

"Siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Wira dari Kuala Krai menghala ke Gua Musang terbabas ke kanan sebelum melanggar treler muatan kayu balak.

"Pada masa sama, dua Perodua Alza dan sebuah Proton Exora tidak sempat mengelak dan terlanggar kayu balak yang jatuh di jalan.

"Susulan kejadian itu, berlaku kesesakan teruk di kedua-dua arah sehingga lima kilometer berikutan kayu balak yang menghalang laluan," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 12:34 AM