Saya bertanya bagi pihak seorang teman yang ingin tahu mengenai status perkahwinannya.

Teman saya diceraikan suaminya dengan talak tiga melalui SMS. Mereka bertengkar melalui SMS dan suaminya menghantar mesej cerai tanpa sedar dan niat.

Dalam SMS itu, dia me-nyebut nama penuh isteri disertai aku cerai kau talak tiga.

Kerana tertekan dengan keadaan itu, teman saya nekad memadamkan SMS cerai terbabit.

Kejadian itu berlaku sekitar Mei dan pendaftaran cerai hanya dibuat pada Julai dengan alasan suaminya sibuk.

Ketika perceraian didaftarkan, suami meletak tarikh pada Julai kerana terlupa tarikh sebenar perceraian berlaku.

Malah, si suami gagal memaklumkan perceraian berlaku menerusi SMS.

Kini, teman saya dan suaminya sudah tamat proses perbicaraan. Mereka rujuk semula dalam keadaan teman saya masih dalam idah.

Begitupun, teman saya tertanya-tanya sama ada perkahwinannya sah atau tidak kerana ragu dengan tempoh idah.

Apakah yang perlu dia lakukan?

Wanita keliru

Banyak perbahasan ulama mengenai kedudukan cerai secara SMS. Namun, bagi menghilangkan kemusykilan puan, saya membawa keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Ke-55 yang bersidang pada 27 Julai 2003.

Setelah membuat penelitian mendalam dan memberi pandangan mengenai hukum perceraian melalui tulisan, ditetapkan bahawa talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti faksimili, SMS dan e-mel adalah talak kinayah iaitu sah jika disertai dengan niat.

Sekalipun talak menggunakan alat komunikasi moden adalah tidak menepati adab perceraian yang digariskan syarak, ia disahkan gugur talak.

Berdasarkan keputusan Majlis Fatwa, kedudukan talak suami kawan anda adalah bergantung kepada niat ketika menulis SMS itu.

Si suami wajib bercakap benar dalam mahkamah kerana hakim akan memutuskan kes berdasarkan kepada apa yang dibentangkan ketika perbicaraan.

Jika dia berbohong kepada hakim, keputusan itu tidak betul. Jika keputusan berkenaan diguna pakai, maka dia akan berdosa dan mendapat kemurkaan Allah SWT.

Justeru, dia mesti perbetulkan kedudukan sebenar cerai secara SMS kepada mahkamah.

Tindakannya menyembunyikan perkara itu adalah tidak betul kerana ia akan menyusahkan dirinya dan isteri di kemudian hari.

Ini kerana soal nikah cerai membabitkan hukum syarak yang mana kita tidak boleh menipu sama sekali apatah lagi apabila membabitkan perkataan talak tiga yang memberi kesan besar kepada kedudukan pernikahan.

Saya merasakan tindakan kawan anda meragukan apabila rujuk kembali sedangkan isu sebenar talak itu belum disahkan.

Justeru, saya nasihatkan pihak terbabit mendapatkan kepastian melalui Mahkamah Syariah supaya hidup mereka menjadi tenang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 5:00 AM