Armilla (kanan) menceritakan pengalamannya. FOTO Junaidi Ladjana
Armilla (kanan) menceritakan pengalamannya. FOTO Junaidi Ladjana
Junaidi Ladjana

Papar: "Ketika di atas bot selepas kejadian, hampir sepanjang masa saya berzikir dan azan sebelum ditemui nelayan Vietnam di perairan Terumbu Layang-Layang, selepas sembilan hari di laut," kata Armilla Ali Hassan, 23, yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas bot dinaikinya bersama warga China dan suami isteri dari Sepanyol terbalik dipukul ombak di perairan Pulau Balambangan, Kudat, 3 Mei lalu.

Armilla berkata, mereka berpaut pada bot yang terbalik itu sebelum berjaya menterbalikkannya semula dan duduk di atas bot itu, namun dihanyutkan arus berikutan enjin bot hilang.

Katanya, sepanjang berada di atas bot dia bersama tiga lagi rakannya hanya menggunakan air laut yang disuling untuk membasahkan tekak selain memakan kerang yang melekat pada kayu buruk.

"Pada hari pertama hingga ketujuh berada di laut, saya bertahan untuk tidak minum dan makan kerang itu, namun masuk hari kelapan saya sesak nafas menyebabkan terpaksa minum air yang disuling dan makan kerang yang melekat pada kayu.

"Pada hari kesembilan, kami akhirnya ditemui oleh nelayan Vietnam sebelum diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bundusan, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, dia bersama rakanya seperti tidak percaya boleh bertahan dan akhirnya diselamatkan oleh anggota APMM yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Alhamdullilah, keadaan saya semakin pulih dan kini berehat di rumah atas nasihat doktor.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada semua yangterbabit dalam operasi SAR," katanya.

Selain Armilla, Lam Wai Yin Tommy, 45, warga China yang juga pemilik resort di Tanjung Simpang Mengayau; suami isteri dari Sepanyol, David Hernandes Gasulla dan Martha Miguel, kedua-duanya berusia 30 tahun dilaporkan hilang.

Mereka dilaporkan keKampung Kok Simpul, Pulau Balambangan pada pagi 3 Mei lalu dan bertolak pulang ke Tanjung Simpang Mengayau menaiki bot kira-kira jam 5 petang.

Bagaimanapun, sehingga jam 10 pagi 4 Mei lalu, semua mereka gagal dihubungi menyebabkan pemilik bot membuat laporan polis sebelum operasi SAR dilakukan.

Caption:

1. ARMILLA ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bundusan, Papar.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 4:42 PM