SESUAI untuk pemanduan lasak.
SESUAI untuk pemanduan lasak.
Erywan Norshal


Ford Everest menawarkan keupayaan mengharung laluan lasak yang tiada tandingan dengan ruang dalaman menerapkan aspek keselesaan bagi kenderaan utiliti sukan pacuan empat roda.

Ruang dalaman Everest yang premium padat dengan ciri moden, pintar dan rekaan canggih disempurnakan lagi menerusi penggunaan material termaju membolehkan pemandu serta penumpang meneroka laluan lasak atau jalan biasa dengan selesa.

Bagi memastikan ruang dalaman yang senyap, pasukan jurutera Ford menggunakan material penyerap bunyi secara ekstensif.

Ia termasuk kaca akustik yang direka khas pada cermin utama untuk menghalang kemasukan bunyi bising daripada jalan, enjin dan trafik.

Bukan itu sahaja, pasukan aerodinamik Ford menjalankan beribu-ribu simulasi untuk menghasilkan bentuk yang boleh bergerak dengan lancar.

Selain membangunkan ‘layar’ aerodinamik pada cermin sisi yang mampu mengurangkan bunyi bising angin sehingga 10dB apabila dipandu dengan cermin tingkap diturunkan.

Kemajuan bidang kejuruteraan itu digabungkan dengan ciri ‘Active Noise Cancellation Ford’ untuk menawarkan pemanduan yang senyap.

Keselesaan dan kehalusan buatan adalah penting buat semua penumpang. Jadi, tempat duduk Everest yang fleksibel dan luas memastikan semua penumpang berada dalam keadaan selesa.

Tempat duduk baris kedua hadir dengan perehat tangan dan konfigurasi 60/40. Manakala tempat duduk baris ketiga dengan ciri lipatan elektrik boleh dilipat rata dengan hanya perlu menekan satu butang.

Ruang dalaman Everest baharu yang kemas direka dengan penuh kefungsian. Ada lebih 30 tempat penyimpanan berkapasiti 48 liter termasuk kotak menyimpan bahagian hadapan yang boleh memuatkan sebuah komputer riba bersaiz 16 inci.

Bagi membantu pemandu kekal berhubung dengan teknologi di dalam kereta dan kehidupan digital, Everest baharu dilengkapi sistem ketersambungan yang diaktifkan melalui suara, SYNC 2.

Ia menawarkan kawalan yang mudah bagi sistem hiburan, suhu dan navigasi, malah membolehkan pemandu membuat panggilan serta membaca pesanan ringkas.

Everest baharu menjadi kenderaan pertama dalam segmennya yang dilengkapi sistem MyKey Ford yang eksklusif.

Sistem itu membolehkan pelbagai ciri seperti had kelajuan maksimum, amaran pemakaian tali pinggang keledar dan tahap bunyi maksimum sistem audio diprogramkan.

Ditawarkan pada harga bermula RM198,888 di atas jalan tidak termasuk insurans di Semenanjung Malaysia dengan empat pilihan warna iaitu merah, putih, hitam dan perak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2016 @ 5:00 AM