KERUSI dan meja disediakan  mengikut kesesuaian fizikal  murid.
KERUSI dan meja disediakan mengikut kesesuaian fizikal murid.
SUDUT bacaaan beri ruang kepada murid menambah ilmu pada waktu senggang.
SUDUT bacaaan beri ruang kepada murid menambah ilmu pada waktu senggang.

Suasana pembelajaran dan pengajaran yang kondusif dalam kelas mampu merangsang minda murid untuk berfikir secara kreatif dan kritis.

Guru pula perlu bijak memanfaatkan ruang dalam kelas menerusi reka letak bahan pembelajaran bersifat interaktif supaya dapat membantu murid menguasai pelajaran disampaikan setiap hari.

Tidak terkecuali dekorasi dalaman kelas perlu dirancang dan dilakukan dengan bijak selain perlu membahagikan ruang bagi mewujudkan sudut pembelajaran. Sekali gus, ia membantu murid menggunakan sumber ilmu sedia ada melalui dekorasi dan hiasan kelas yang bermaklumat.

Dekorasi dalaman kelas Prasekolah, Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Keledang, Hulu Selangor bukan sahaja menarik, malah mampu menampilkan suasana pembelajaran dan pengajaran yang kondusif dengan pelbagai bahan interaktif bermaklumat serta menarik minat murid.

Kreativiti Guru Prasekolah, Sahida Saliman, 32, terserlah kerana keupayaan beliau mengaplikasikan ruang kelas dengan mewujudkan sudut pembelajaran sebaik mungkin.

Ia termasuk penggunaan bahan interaktif dengan dekorasi yang mampu membantu meningkatkan kefahaman murid dalam pelajaran.

Terdapat sudut membaca dengan susunan buku dalam rak dan kerusi dengan pelbagai warna bertujuan menarik minat membaca.

Ia disediakan supaya murid bijak menggunakan masa senggang untuk membaca buku cerita yang disediakan.

Pada bahagian pintu pula, terdapat bahan interaktif digantung dengan kemas sementara sudut memori juga disediakan untuk menampalkan gambar murid yang pernah mengikuti pendidikan di prasekolah ini sebagai kenangan.

Bagi mendidik murid supaya bijak menyusun barang dengan kemas, diwujudkan ruang untuk meletakkan beg dan buku.

Setiap murid ada rak masing-masing supaya kelas tampil lebih kemas.

Pada bahagian dinding terutama di atas jendela pula terdapat bahan pembelajaran pelbagai warna disusun dengan kemas.

Penggunaan bahan pelbagai warna sebenarnya mampu menimbulkan suasana lebih ceria dan menarik minat murid mengetahui lebih lanjut bahan tertentu.

Sahida berkata, dekorasi dalam kelas berbeza dengan hiasan di rumah. Bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang menarik, guru perlu bijak dan pandai menggabungkan pelbagai bahan interaktif.

Lazimnya kanak-kanak sukakan sesuatu yang berwarna menarik.

Katanya, susunan kerusi dan meja murid juga perlu diatur dan diselaras dengan bijak supaya memberi keselesaan ketika belajar.

“Bagi memupuk minat menabung dan berjimat cermat, terdapat sudut khas disediakan supaya amalan murni itu menjadi kebiasaan.

“Ia disusun kemas mengikut nama murid supaya mereka dapat menyimpan wang lebihan belanja setiap hari.

“Di bahagian papan tulis terutama pada bahagian tepi dan atas juga dipenuhi bahan interaktif bagi menghilangkan rasa bosan apabila berada dalam kelas dengan pemerhatian yang memberi ilmu kepada murid,” katanya.

Beliau berkata, pada bahagian luar kelas pula terdapat laluan seperti jalan raya sebenar bertujuan mendidik murid menggunakan jalan raya dengan berhemah, selain pondok rehat serta binaan rumah burung.

Pada bahagian luar disediakan rak kasut bagi melatih murid berdisiplin dan menghargai barang sendiri.

Pokok renek dan pagar berkayu pelbagai warna di sekeliling prasekolah itu menjadikan persekitarannya tampak ceria.

Katanya, sebagai guru abad ke-21 pihaknya perlu kreatif dan bijak menggunakan ruang kelas yang sedia ada supaya mampu menarik minat murid. - Rosman Shamsudin

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2016 @ 5:01 AM