Oleh Ridzuan Abdul Rahman .

(yang mengikuti rombongan eSastera2u.com ke acara Sastra Bulan Purnama di Jogjakarta, Indonesia)

[email protected]

Mereka mungkin belum dikenali di negara sendiri tetapi hakikatnya Grup Lagu Puisi (GLP) yang dianggotai Wan Nur Ilyani Wan Abu Bakar atau Ilya dan Mohd Hijasri Hassim (Hijas) sudah berjaya menempatkan nama di luar negara iaitu Jogjakarta, Indonesia.

Menerusi lagu genre puisi, artis di bawah label Esastera Records ini me­nyerlah dengan lagu Suluh Sinar, Pengharap Cinta dan Perada Cinta yang mempunyai nilai estetika yang tinggi.

Tidak menghairankan apabila GLP diundang menjayakan persembahan di Jogjakarta pada 8 hingga 11 Ogos dan seterusnya diundang lagi mengadakan persembahan di sana pada 10 November lalu.

Sememangnya, program sempena acara Sastra Bulan Purnama yang berlangsung di Rumah Budaya Tembi, Jogjakarta ini sangat menarik. Penduduk Jogjakarta yang dikenali sebagai kota pelajar dan kota budaya ini menyambut baik kedatangan GLP dan hadir beramai-ramai memberikan sokongan.

Apatah lagi, ia turut menampilkan barisan aktivis seni terkenal di sana yang menyampaikan karya diambil daripada sajak buku Peneroka Malam tulisan pengasas eSastera2u.com, Profesor Dr Ir Wan Abu Bakar yang turut hadir ke acara itu.

Rombongan ini turut disertai lapan wakil Persatuan Editor Malaysia dan penyair terkenal, Dr Lim Swee Tin yang turut mengupas novel Meja 17 karya Dr Irwan Abu Bakar di hadapan pelajar di Universiti Gadjah Mada pada 11 November.

GLP menyampaikan lagu puisi karya penulis muda dari eSastera2u.com iaitu Perada Cinta ciptaan Dinie Wan dan Melegakan Hakikat daripada puisi karya penulis Malaysia, Ariff Mohamad.

Persembahan mereka menerima tepukan daripada semua yang hadir. Barisan penyair Indonesia iaitu Ida Fitri menyampaikan puisi Selayang Padang, Savitri Damayanti (Api Lilin Rumah Kayu) dan Umi Kulsum (Mencari Jalan Pulang), manakala, nyanyian pula menampilkan Ahmad Daladi, Feryna Setyowati dan Donny Biola menyampaikan lagu puisi Ku Lepaskan Dia Terbang.

Peserta lain ialah kumpulan Borneo Syndicate dari Sulawesi (Peneroka Malam dan Setangkai Mawar Berwarna Ungu), Maz Inung, kumpulan Dadofe dan kumpulan muzik dari Sigi.

Persembahan penutup menampilkan gandingan Ilya bersama Feryna me­nyampaikan lagu Andai Kau Datang Kembali daripada puisi Koes Plus. Amat mengagumkan kerana acara begini mendapat sambutan hebat daripada masyarakat setempat yang sudi meluangkan masa menonton dari awal hingga akhir.

Ilya melahirkan perasaan gembira kerana Esastera Records membawa mereka ke Jogjakarta bagi mempromosikan lagu-lagu GLP kepada peminat sastera dan muzik di sana.

"Ini penting untuk memperkenalkan karya daripada Malaysia kepada masyarakat Indonesia agar persaudaraan antara negara ini diperkukuh dengan titian sastera.

"Apabila banyak karya bertukar ganti melalui persahabatan dan perkenalan di acara sebegini, karya dan idea yang lebih kreatif dan bermutu akan dapat dihasilkan untuk kebaikan kedua-dua negara.

"Justeru, kami ambil peluang sepenuhnya untuk memperkenalkan puisi-puisi karya penulis Malaysia yang sudah dirakamkan dalam album GLP berjudul Perada Cinta.

"Album ini diterbit dan dipasarkan sejak Januari lalu dan memuatkan 11 lagu yang semuanya dihasilkan daripada puisi-puisi yang pernah diterbitkan di laman web eSastera2u.com kecuali satu lagu diambil daripada puisi Sasterawan Negara, Keris Mas berjudul Pelita Tak Padam-Padam," kata­nya.

Ilya berkata, kehadiran GLP ke Jogjakarta dianggap sebagai mewakili Malaysia dan mendapat liputan dalam tujuh akhbar Indonesia yang mempromosikan

acara berkenaan.

Pada acara ini, himpunan kumpulan puisi Irwan Abu Bakar berjudul Peneroka Malam turut dilancarkan secara meriah di hadapan penonton yang hadir.

"Alhamdulillah, kerana usaha kami dihargai di sini. Semoga karya GLP dikenali di Indonesia dengan usaha yang berterusan melalui titian sastera ini," katanya.

Mereka berterima kasih kepada penganjur, E-Sastra Management Enterprise Indonesia (eSMe Indo) yang diuruskan oleh Yo Sugianto, aktivis sastera yang aktif di Jakarta, Indonesia kerana menguruskan program selama empat hari tiga malam (10-13 November 2014) di sana dengan baik dan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 5:00 AM