EMPAT sahabat gembira dapat tunaikan amanah yang diberikan kepada mereka.
EMPAT sahabat gembira dapat tunaikan amanah yang diberikan kepada mereka.

Pertama kali mereka mendengar mengenai laksa goreng, pertama kali juga diajak oleh kumpulan amal komuniti Superfrends untuk membantu membuatnya.

Masing-masing tertanya-tanya bagaimana hasilnya laksa goreng? Bagaimana rupa dan rasanya?

Hanif Rosdi Abu Yazid, Azzan Musadiq Mohd Nasir dan Habiburahman Mohd Supaat tahu mereka perlu membantu menyiapkan 100 bungkus laksa goreng berperasa kari untuk edaran Ramadan nanti kepada warga memerlukan.

Jumlah itu yang menggunakan 40 peket laksa, rempah kari, garam dan perisa bukan perkara enteng sebenarnya. Mampukah empat orang membuatnya?

Secara logik, terasa ia sesuatu yang mustahil. Namun berkat kesungguhan, Alhamdulillah, laksa goreng berkari berjaya dihasilkan dan sudah cukup kuotanya 100 bungkus seperti yang dirancang.

Sesungguhnya ketiga-tiga sahabat ini yang dibantu seorang lagi teman mereka, Muhammad Aiman Hafiz Mohd Mastan, 19, bertungkus-lumus membuatnya. Bermula jam 9 pagi hinggalah azan Maghrib berkumandang, hampir 10 jam mereka fokus melakukannya.

Mereka membahagikan tugasan. Siapa yang menggoreng, menjaga kuali dan juga membahagi laksa, mengadun, seterusnya menimbang dan akhir sekali membungkus serta menyimpannya.

“Pengalaman yang baru bagi saya. Walaupun pertama kali membuat makanan ini, ia tak susah nak mahir cuma perlu kesabaran tinggi bagi memastikan hasil yang baik. Lagipun, Ramadan semakin hampir, tak sampai sebulan saja lagi, kami perlukan barang persiapan raya yang akan diedarkan pada Ramadan kelak kepada golongan memerlukan,” kata Hanif Rosdi Abu Yazid, 22, yang sudah lebih setahun aktif sebagai sukarelawan amal. Dia pelajar Kolej Universiti Islam Melaka pada tahun akhir.

Membuat laksa goreng ini nampak mudah tetapi sebenarnya ia sangat remeh. Dalam cuaca panas, mereka perlu menggoreng sepanjang proses pembuatan. Boleh dilihat ia amat memenatkan dan menguji kesabaran tetapi nampaknya mereka bertahan. Inilah pentingnya tenaga muda.

Tambah Hanif Rosdi, pada peringkat permulaan dia dan kawan-kawan perlu memikirkan cara memudahkan pusingan kerja mereka.

“Laksa perlu digoreng kira-kira seminit saja dalam minyak panas dan kena pastikan ia sedikit kekuningan. Tak boleh terlebih lama atau terkurang. Kalau lama ia jadi rentung dan kalau terkurang ia tak masak pula. Jadi memang kena hati-hati.

“Minyak pula perlu ditoskan setiap kali. Kami juga memastikan kebersihan pada persekitaran supaya tiada bendasing masuk ke dalam laksa,” katanya.

Habiburahman, 22, pula memberitahu membuat laksa goreng itu ternyata pengalaman menarik kerana dia dapat belajar sesuatu yang baru serta berasakan betapa pentingnya kerjasama bagi menghasilkan produk yang baik.

“Kami cuba buat yang terbaik tugas diamanahkan. Saya rasa gembira walaupun dalam kepenatan sebab semua orang sama-sama bekerja keras. Tugas saya memasukkan laksa yang digoreng oleh Hanif. Jumlahnya mesti serba sempurna, tak lebih dan tak kurang supaya senang dimasak.

“Setelah digoreng laksa ditos minyaknya sebelum dimasukkan ke bakul yang baru. Apabila minyak kurang ia memudahkan seorang lagi teman kami untuk mengadun dengan kari, garam dan perasa. Memang penat dan selepas beberapa jam kami perlu berehat beberapa minit untuk mendapatkan tenaga semula.

“Ini pengalaman baru saya, tak pernah buat sebelum ini. Ia mengajar saya perlu fokus dan tak lalai supaya laksa tak hangus atau kurang masak. Ini untuk diberi kepada orang susah, jadi kami perlu berikan yang terbaik,” katanya.

Azzan Musadiq Mohd Nasir, 23, mengakui kepenatan tetapi sangat gembira dengan hasil yang mereka lakukan.

“Pada permulaan nampak seperti susah kerana tak tahu prosesnya tetapi lama-kelamaan apabila sudah dapat rentak, semakin cepat prosesnya.

Sasaran 100 bungkus, setiap satu 300 gram dapat dicapai. Nampak seperti senang tetapi apabila membuatnya sendiri baru tahu payahnya. Tetapi dengan kerja berkumpulan semuanya dapat diatasi dengan baik.

“Untuk akan datang, perlu diingat pemilihan laksa sangat penting kerana ia mempengaruhi kuantiti dan kualiti hasilnya. Jangan tersalah beli kerana ada yang hasilnya menjadi seperti habuk dan ini menyukarkan ketika proses adunan kari. Salah laksa juga menyebabkan kita harus menggunakan rempah kari yang lebih banyak kerana susah hendak meratakannya. Laksa yang siap diadun perlu dibiarkan betul-betul sejuk sebelum dibungkus,” katanya.

Semua yang terbabit, belajar di kolej yang sama, walaupun tahu hari itu kekurangan bantuan sukarelawan untuk menyiapkan begitu banyak laksa goreng tetapi mereka mencuba sedaya upaya sehingga berjaya. Dengan tenaga empat orang, anak muda ini menyiapkan 100 bungkus laksa goreng bagi edaran kepada warga susah pada bulan Ramadan kelak.

Kumpulan komuniti amal Superfrends masih memerlukan nasi impit segera, kordial, kek buah, kuih raya, tuala, kerongsang dan lain-lain lagi untuk edaran hamper ketika Ramadan untuk 100 individu yang memerlukan. - Kusyi Hirdan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 5:01 AM