Kuala Lumpur: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan rakan penyelidikannya dari Amerika Syarikat mengenal pasti rahsia genetik untuk meningkatkan hasil minyak melalui penggunaan klon kelapa sawit.

“Melalui penyelidikan ke atas genom kelapa sawit, kami mengenal pasti elemen yang dapat berpindah dikenali sebagai ‘Karma’, yang bertanggungjawab bagi buah mantel dengan hasil rendah.

“Penemuan ini membawa kepada pembangunan, ujian berasaskan daun yang dapat mengenal pasti ‘Bad Karma’ dan menjangka mantel sebelum kelapa sawit ditanam di ladang,” kata MPOB dalam kenyataan, semalam.

Katanya, ujian baru itu akan membolehkan penanaman klon kelapa sawit berprestasi tinggi dengan mengenal pasti hanya yang mempunyai sifat epigenetik ‘Good Karma’, mengoptimumkan lagi penggunaan sumber tanah yang sensitif kepada persekitaran.

Klon kelapa sawit mempunyai potensi menghasilkan 20 hingga 30 peratus lebih banyak minyak di kawasan tanaman sama berikutan pokok ditanam daripada anak benih.

Bagaimanapun, potensi terbabit tidak dapat dicapai sehingga kini kerana sebahagian besar buah kelapa sawit yang diklon itu mengalami fenomena dikenali ‘mantel’.

“Walaupun pokok yang diklon itu secara genetiknya mempunyai persamaan dengan pokok induk, buah mantel adalah abnormal dan akan mengurangkan hasil minyak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 5:04 AM