Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari (lima dari kanan) bersama pemenang Pertandingan Pidato 1Malaysia Peringkat Kebangsaan 2016 yang diadakan di UiTM  Cawangan Merbok.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari (lima dari kanan) bersama pemenang Pertandingan Pidato 1Malaysia Peringkat Kebangsaan 2016 yang diadakan di UiTM Cawangan Merbok.

Sungai Petani: “Kemenangan ini adalah sesuatu yang tidak dijangka, tetapi sekurang-kurangnya mampu menebus kekecewaan sebanyak tiga kali sejak 2007 apabila sekadar membawa pulang hadiah saguhati.”

Begitu kata guru Sejarah dan Kesusasteraan Bahasa Melayu Mohammad Anas Roslan, 27, apabila dinobatkan johan dalam Pertandingan Pidato 1Malaysia Peringkat Kebangsaan 2016, semalam.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Tajuddin, Bandar Baharu, Kulim itu yang mewakili Kedah menewaskan empat peserta akhir lain sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan.

Menebus kekecewaan kali ketiga menyertai pertandingan pada 2007, 2008 dan 2012, anak ketiga daripada tujuh beradik berkenaan meneruskan cabaran dengan membawakan pidato bertajuk ‘Bajet Tahunan Persekutuan Berpaksikan Rakyat’.

Mohammad Anas yang aktif menyertai pertandingan pidato sejak di bangku sekolah, berkata kemenangan itu juga menebus kekecewaannya menyertai pertandingan pidato peringkat kebangsaan sebelum ini apabila hanya berpuas hati membawa pulang saguhati.

Naib johan dimenangi pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Datuk Razali Ismail, Terengganu, Anis Hazirah Zakaria, 20, yang membawa pulang wang tunai RM2,000, piala iringan dan sijil penyertaan.

Manakala, tempat ketiga dimenangi pegawai Unit Integriti Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya, Mohd Rafee Mohamad, 28, yang mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000, piala iringan dan sijil penyertaan.

Hadir sama, Ketua Pengarah Penerangan Malaysia Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 5:11 AM